PETALING JAYA: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bersedia membantu atlet peluncur alpine ski wanita negara, Aruwin Salehuddin bagi mendapatkan dana dalam usahanya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Musim Sejuk 2026 dan Sukan Musim Sejuk Asia 2029.
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, kejayaan Aruwin di Sukan Musim Sejuk Asia ke-9 membuktikan negara mempunyai potensi besar dalam sukan berkenaan apabila atlet itu mampu memberi saingan sehingga hampir membutirkan pingat.
Pada temasya yang berlangsung di Harbin, China yang berlangsung dari 7 hingga 14 Februari, menyaksikan Aruwin hampir memenangi gangsa namun terpaksa akur kepada wakil Jepun, Eren Watanabe dengan perbezaan dua saat.
“Bagi pihak MOM Malaysia, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Aruwin atas pencapaian luar biasa ini dalam penampilan pertamanya di Sukan Musim Sejuk Asia kali ini.
“Malah dia juga adalah atlet pertama Malaysia bertanding dalam Sukan Musim Sejuk Asia. Kami sangat berbangga dengan pencapaian dia yang menduduki tempat keempat, hanya kurang dua saat daripada pemenang pingat gangsa.
“Aruwin mempunyai masa depan yang cerah, memandangkan dia baru berusia 21 tahun. MOM akan menulis surat kepada Menteri Belia dan Sukan untuk mempertimbangkan memberi sokongan kewangan tambahan bagi membantunya melayakkan diri untuk Sukan Olimpik Musim Sejuk dan Sukan Musim Sejuk Asia yang akan datang,” katanya.
Pingat emas menjadi milik atlet Jepun, Chisaki Maeda dengan catatan masa satu minit 33.50 saat (s) manakala pingat perak dan gangsa dimenangi oleh atlet Korea, Gim So Hui (1:34.06s), Eren dengan masa 1:34.96s.
Selepas ini, Aruwin akan mengalihkan tumpuannya dalam persiapan menghadapi Kejohanan Ski Dunia Saalbach 2025.
“Saya meninggalkan Harbin dengan perasaan bangga sebagai rakyat Malaysia. Sejujurnya, saya tidak pasti sama ada mampu menempatkan diri dalam kelompok 5 teratas.
“Persaingan di sini adalah antara yang terkuat di Asia, disokong oleh persekutuan yang lebih besar dan mempunyai dana lebih banyak, serta telah bersaing dalam sukan ini selama berdekad lamanya,” kata Aruwin.- UTUSAN