PETALING JAYA: Datuk Mohd. Joehari Mohd. Ayub secara rasmi diumumkan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2025-2029.
Mohd Joehari menang tanpa bertanding selepas menjadi calon tunggal untuk jawatan No.1 itu pada kongres pemilihan FAM bagi penggal 2025-2029 yang berlangsung, hari ini.
Beliau yang sebelum ini menggalas tugas sebagai naib presiden turut menjadi individu pertama dari Sabah menerajui badan induk bola sepak negara.
Mohd Joehari menggantikan tempat Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang tidak mempertahankan jawatan yang disandang sejak 2018.
Sementara itu, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S Sivasundaram pula mempertahankan jawatan Timbalan Presiden apabila turut diumumkan menang tanpa bertanding.
Bagi jawatan Naib Presiden, lagenda bola sepak negara, Datuk Dollah Salleh menepati ramalan apabila terpilih bersama tiga individu lain untuk jawatan itu.
Turut dipilih sebagai Naib Presiden ialah Datuk Seri Rosmadi Ismail, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin dan N. Saaran.
Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM (Exco) pula menyaksikan, Datuk Zainal Abidin, Hishamuddin Abdul Karim, Datuk Hisamudin Yahaya, Mohd Azizuddin Mohd Shariff, Tan Chee Hong, Datuk Kamarudin Hassan, Datuk Seri Mohd Yusri Hassam Basri dan Datuk P. Sugumaran menjadi pilihan.- UTUSAN ONLINE