MBPJ teruskan kerjasama dengan Soh Wai Ching

MBPJ teruskan kerjasama dengan atlet menara negara, Soh Wai Ching

mbpj
MBPJ memberikan tajaan sejumlah RM75,000 kepada Soh Wai Ching bagi meneruskan penyertaan di peringkat antarabangsa serta menyokong misi beliau untuk merampas semula ranking nombor satu dunia pada tahun 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan atlet larian menara negara, Soh Wai Ching bagi mempromosi bandar raya ini kepada masyarakat dunia.

Melalui perjanjian itu, MBPJ memberikan tajaan sejumlah RM75,000 kepada Soh Wai Ching bagi meneruskan penyertaan di peringkat antarabangsa serta menyokong misi beliau untuk merampas semula ranking nombor satu dunia pada tahun 2025.

Tajaan itu diharap dapat membantu beliau mencapai kejuaraan serta mengharumkan nama Malaysia, khususnya bandar raya Petaling Jaya di pentas dunia.

Tujuan MoU diadakan adalah untuk mempromosikan Petaling Jaya sebagai sebuah bandar raya yang Pintar, Mampan dan Berdaya Tahan dan pada masa sama menjadikan bandar raya Petaling Jaya sebagai sebuah destinasi pelancongan yang boleh dilawati oleh pengunjung seluruh dunia yang menyediakan lokasi-lokasi pelancongan menarik, kepelbagaian jenis makanan dan kemudahan-kemudahan lain kepada pengunjung sempena Tahun Melawat Selangor 2025.

MoU yang dimeterai menetapkan syarat dan terma bersama termasuk kewajiban untuk sentiasa mengenakan baju atau jersi berlogo MBPJ dalam setiap pertandingan larian menara serta sesi temu ramah, sama ada dalam atau di luar negara.

Selain itu, Wai Ching akan membawa bendera MBPJ serta memaparkan slogan “Petaling Jaya Love You” dalam setiap sesi penyampaian hadiah selepas pertandingan dan di setiap ceramah kepada mana-mana pihak.

Beliau juga akan menghadiri serta menyampaikan tiga sesi ceramah motivasi anjuran MBPJ di sekolah sekitar Petaling Jaya.

Sebagai duta rasmi MBPJ, beliau bertanggungjawab untuk sentiasa mempromosikan MBPJ kepada orang ramai serta memberi keutamaan kepada MBPJ dalam penyiaran setiap aktiviti tajaan di semua platform media sosial.

Sebagai sebahagian daripada usaha memartabatkan sukan larian menara, MBPJ turut menetapkan Petaling Jaya sebagai pusat latihan larian menara yang ulung untuk melatih anak-anak muda Petaling Jaya menceburi bidang ini seterusnya melahirkan ramai atlet jaguh larian menara.

Terdahulu, pada 28 Februari 2024, MBPJ telah menandatangani perjanjian penajaan bernilai RM75,000 dengan Wai Ching bagi menyokong penyertaannya dalam kejohanan larian menara di seluruh dunia dari 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2024.

Sepanjang tempoh tersebut, beliau telah menyertai sebanyak 38 kejohanan dunia dan tempatan dengan pencapaian membanggakan 37 kemenangan podium.

Atlet kelahiran Selayang itu memahat nama sebagai juara dunia selepas berjaya menawan puncak Taipei 101 di Taiwan sebagai juara Kejohanan Larian Menara Dunia pada Mei, selain mendominasi kategori lelaki terbuka Larian Menara Naza 2024.

Beliau turut mempertahankan kejuaraan buat tahun ketiga berturut-turut pada perlumbaan menaiki anak tangga bangunan menara Scale the Strat di Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat (AS) pada Februari tahun lalu. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya