PETALING JAYA: Malaysia berwaspada dengan ancaman yang bakal diterima ketika berdepan Hong Kong pada aksi pertama peringkat Kumpulan B, Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025, esok.
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky berkata, perlawanan sulung itu amat penting untuk mendapatkan kemenangan, namun beliau sedar ia tidak akan menjadi perlawanan yang mudah buat skuad negara.
“Kami perlu memenangi sekurang-kurangnya satu perlawanan untuk melepasi peringkat kumpulan dan ini adalah risiko dalam kejohanan pasukan.
“Sekarang, kami tidak boleh terlalu memikirkan perlawanan menentang Indonesia kerana ini akan menambah tekanan yang tidak sepatutnya kepada pemain.
“Sebaliknya, kami perlu memberi motivasi kepada pemain dan menyediakan mereka untuk berdepan dengan Hong Kong dan Indonesia.
“Kita lihat Hong Kong memang agak bagus dalam acara perseorangan (lelaki) dan untuk perseorangan wanita, kita boleh cakap (peluang) 50-50 namun untuk beregu lelaki tidak boleh terlalu yakin sebaliknya pemain perlu berikan yang terbaik,” katanya.
Beregu campuran veteran Goh Soon Huat-Shevon Lai akan mengetuai skuad negara, bersama satu lagi pasangan negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin
Leong Jun Hao dan Justin Hoh akan meneruskan cabaran negara dalam acara perseorangan lelaki, manakala K. Letshanaa menjadi pilihan pertama bagi perseorangan wanita, dibantu oleh Wong Ling Ching.
Beregu lelaki No. 12 Dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, yang baru-baru ini memenangi Indonesia Masters menjadi pilihan utama sambil dibantu oleh Arif Junaidi-Yap Roy King.
Teoh Mei Xing-Go Pei Kee dan Tan Zhing Yi-Cheng Su Hui akan bertanding dalam acara beregu wanita.
Malaysia telah diletakkan dalam Kumpulan B bersama Indonesia dan Hong Kong.-UTUSAN