PETALING JAYA: Malaysia memulakan kempen dengan kekalahan kepada Hong Kong 2-3 dalam aksi pembukaan Kumpulan B pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia di Pusat Sukan Qingdao Conson di Qingdao, China, hari ini.
Beregu campuran yang menghuni ranking No. 15 dunia, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang terlebih dahulu turun ke gelanggang tunduk kepada Tan Chung Man-Ng Tsz Yau 21-17, 17-21, 11-21 dalam masa 59 minit.
Ketinggalan 0-1, skuad negara bangkit mengikat kedudukan menjadi 1-1 menerusi pemain perseorangan wanita, K. Latshanaa yang menewaskan Saloni Samirbhai Mehta 21-18, 21-18 dalam masa 46 minit.
Malaysia yang mempertaruhkan Justin Hoh dalam perseorangan lelaki gagal menggalas cabaran tersebut apabila dia tumpas di tangan pemain No. 21 dunia, Lee Cheuk Yiu 19-21, 16-21 dalam masa 46 minit.
Skuad negara yang terdesak untuk memburu mata bagi menyamakan kembali kedudukan gagal berbuat demikian setelah beregu wanita, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing akur kepada pasangan No. 13 dunia, Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam 17-21, 14-21.
Juara Indonesia Masters, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang turun selaku wakil terakhir negara tidak berdepan masalah membenam beregu lelaki Hong Kong, Hung Kuei Chun-Lui Chun Wai 21-13, 21-11.
Bagaimanapun, kemenangan itu tidak mampu mengubah keputusan skuad negara tumbang 2-3 kepada Hong Kong.
Esok, Malaysia akan berdepan Indonesia yang mudah membenam Hong Kong 5-0 dalam perlawanan yang berlangsung, semalam.
Skuad kebangsaan tidak mempunyai pilihan melainkan menewaskan Indonesia dalam aksi terakhir Kumpulan B jika berhajat mara lebih jauh. – UTUSAN