PETALING JAYA: Atlet sukan permotoran terkenal dari Malaysia, Leona Chin, terus mengharumkan nama Malaysia apabila beliau menerima Anugerah Kepimpinan Ikon Jenama-Ikon Sukan (Permotoran) di Anugerah Jenama Terbaik ‘The BrandLaureate’ yang diadakan di Singapura, semalam.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Y.M Tengku Datuk Dr. Hishammuddin Zaizi, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan luar biasa Leona dalam sukan permotoran serta perjalanan beliau yang berpengaruh sebagai ikon sukan global.
Penghormatan ini mengukuhkan kedudukan Leona sebagai salah satu tokoh paling berpengaruh dalam industri, memberi inspirasi kepada generasi pelumba dan peminat sukan permotoran yang akan datang.
“Anugerah ini adalah satu penghormatan yang luar biasa dan menjadi bukti kepada kerja keras dan minat mendalam saya dalam sukan permotoran. Ia memberi motivasi kepada saya untuk terus memecahkan sempadan dan mencapai lebih banyak kejayaan di pentas antarabangsa.
“Saya berharap untuk memberi inspirasi kepada bakat-bakat muda untuk mengejar impian mereka,” kata Leona semasa ucapan apabila naik ke pentas menerima anugerah itu.
Kejayaan Leona pada tahun 2024 semakin mengukuhkan kedudukan beliau sebagai tokoh terkemuka dalam sukan permotoran.
Antara pencapaian hebat beliau dalam musim perlumbaan 2024 adalah di Grand Prix Macau, apabila Leona menjadi satu-satunya wanita yang bersaing dalam kategori Greater Bay Area GT Cup (GT4), menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-15 daripada 28 pelumba.
Perlumbaan Endurance 8 Jam Shanghai, Leona berjaya meraih tempat ke-3 dalam kategori GTC-Porsche dan China Circuit Sprint Challenge (CCSC), di mana beliau memenangi kejuaraan keseluruhan dalam kategori ‘Master’ yang diadakan di Litar Antarabangsa V1, Tianjni, China.
Pencapaian luar biasa ini mencerminkan komitmen Leona terhadap kecemerlangan dan kebolehannya untuk bersaing di peringkat tertinggi dalam pelbagai disiplin perlumbaan.
Kejayaan berterusan dan ketabahan beliau menjadi sumber inspirasi, bukan sahaja kepada rakyat Malaysia malah kepada peminat sukan permotoran di seluruh dunia.
Sepanjang kerjayanya, Leona telah terlibat dalam pelbagai kerjasama dengan jenama terkemuka di seluruh dunia.
Beliau berharap untuk menjalin lebih banyak kerjasama pada masa hadapan bagi meneruskan perjalanan perlumbaannya serta memberi inspirasi kepada golongan wanita dan lelaki muda untuk berani dan cekal dalam mencapai impian mereka.
Anugerah Jenama Terbaik Tahun Ini The BrandLaureate meraikan individu dan jenama yang memberi impak besar dalam industri masing-masing serta mengekalkan kecemerlangan dalam kepimpinan jenama.
Pengiktirafan Leona sebagai Ikon Sukan dalam Permotoran adalah bukti dedikasi, semangat dan pengaruh beliau.
Leona Chin meneruskan perjalanannya untuk mengharumkan nama Malaysia dengan mencapai tahap baharu dalam sukan permotoran serta memberi inspirasi kepada generasi atlet seterusnya.-UTUSAN