PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan penetapan sasaran Sukan SEA Thailand 2025 yang dibuat mengikut jumlah pingat keseluruhan tidak dilakukan secara bersendirian sebaliknya saranan daripada pakar.
Hannah berkata, beliau tidak mahu meneruskan kaedah yang digunapakai sebelum ini dengan menetapkan jumlah sasaran pingat emas kepada atlet yang mengambil bahagian dalam mana-mana temasya kerana ia sudah menjadi satu kelaziman.
Katanya, selepas mendapatkan saranan daripada barisan pakar di Nippon Sports Science University (NSSU), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah bersetuju untuk menetapkan sasaran di temasya dwitahunan itu mengikut jumlah pingat keseluruhan.
“Saya ingin mengatakan saranan untuk mengumumkan sasaran berdasarkan jumlah pingat dan bukan warnanya (emas), ia bukan saranan Hannah Yeoh.
“Ia datang dari NSSU dan ketika kita berbincang, mereka berkata mengapa Malaysia masih menggunakan kaedah ini sedangkan negara lain sudah tidak menggunakannya lagi.
“Ini (saranan) datang daripada pakar NSSU dan mengapa kita mendengar daripada mereka? Kerana universiti itu sendiri, mereka mencapai lebih daripada 40 pingat emas di Sukan Olimpik,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian cawangan baharu Rhythmic Excellence Academy di sini, semalam.
Terdahulu, bekas Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, keputusan tidak meletakkan sasaran pingat kepada atlet negara pada Sukan Sea 2025 dilihat kurang praktikal untuk dilakukan pada kejohanan dwitahunan itu.
Hannah turut memberitahu atlet negara lebih gemar dengan pendekatan yang digunakan oleh KBS dalam menetapkan sasaran sebelum mereka menyertai sesebuah kejohanan kerana kurang tekanan.
Kaedah penetapan pingat tanpa warna mula diperkenalkan di temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 dan pada ketika itu KBS telah menetapkan sasaran 27 pingat, apabila Malaysia telah melepasi sasaran tersebut dengan memenangi 32 pingat (enam emas, lapan perak, 18 gangsa).
Dalam perkembangan lain, Hannah memberitahu pihaknya menunggu hasil keputusan perbincangan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dengan Persekutuan Bola Baling Malaysia (MAHF) bagi menyelesaikan isu yang dihadapi.
Sebagai rekod, MAHF digugurkan sebagai ahli gabungan MOM disebabkan kegagalan melunaskan tunggakan hutang RM133,000 pada 2018 merangkumi perbelanjaan dan kos penyertaan atlet bola baling ke Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.-UTUSAN