PETALING JAYA: Pemain skuasy remaja negara, Harleein Tan berada dalam kelas tersendiri apabila muncul juara Kejohanan Skuasy Remaja Kebangsaan 2025 di Pusat Skuasy Nasional di sini, semalam.
Pemain yang bakal menginjak usia 16 tahun itu tidak berdepan masalah mengetepikan rakan seperjuangannya di kem negara, Najwa Zara Mohd Fakhrur Razi 13-11, 11-6, 11-0 pada perlawanan akhir kategori perempuan Bawah-17 tahun.
Kejayaan itu juga merupakan gelaran ketujuh Harleein yang baharu sahaja pulang dari Hong Kong membawa pulang pingat perak pada Kejohanan Berpasukan Remaja Asia, minggu lalu.
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Andrew Cross berkata, kejohanan kali ini telah mempamerkan beberapa perlawanan akhir yang menarik.
“Dalam perlawanan akhir kategori perempuan Bawah-17 tahun, Harleein terlalu kuat untuk Najwa Zara, begitu juga final lelaki Bawah-17 Tahun, Ivan Chang pada awalnya mendahului dua set, tetapi, Aqil Mirza berjaya bangkit untuk menang tiga game berikut.
“Selain itu, perlawanan lelaki Bawah-13 Tahun dan Bawah-15 Tahun juga sangat bagus,” katanya.
Untuk kategori lelaki Bawah-17 Tahun pula, Aqil Mirza Naim Khairil Fariz dari Kedah menewaskan pemain Pulau Pinang, Ivan Chang 9-11, 7-11, 12-10, 11-6, 11-3.
Sementara itu, untuk final kategori Perampuan Bawah 19-Tahun, wakil Negeri Sembilan, V. Haneesha menumpaskan Ayesha Rania dari Kuala Lumpur 11-3, 11-7, 11-7, manakala, K. Hashvind mengalahkan M. Kuhen 11-8, 11-8, 11-5 bagi saingan lelaki.-UTUSAN