ALOR SETAR: Di sebalik kepayahan serta segala bentuk dugaan yang melanda pasukan termasuk dari aspek kewangan, penyerang utama Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Milos Gordic tidak mahu mensia-siakan peluang untuk membawa Sang Kenari mara ke perlawanan akhir Piala Cabaran apabila menanti kedatangan PDRM FC dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Darul Aman, hari ini.
Menurut penyerang dari Serbia itu, pengalaman menentang skuad Sang Saka Biru pada aksi separuh akhir pertama jelas memberi gambaran betapa PDRM FC bukanlah lawan yang mudah untuk diatasi apabila mereka terikat dengan keputusan seri 3-3.
Namun katanya, rata-rata pemain tidak mahu melepaskan peluang yang dianggap ‘terbaik’, bagi memberi ‘hadiah’ kepada diri mereka sendiri dan penyokong setia, di sebalik pelbagai dugaan dilalui sepanjang musim ini.
“Kami sebenarnya menjangkakan perlawanan yang amat sukar menentang PDRM FC. Dalam aksi di tempat lawan sebelum ini, PDRM jelas menunjukkan bahawa mereka sebuah pasukan yang bagus.
“Tetapi kami juga memiliki kelebihan kerana beraksi di laman sendiri kali ini. Walaupun semua orang tahu situasi semasa pasukan, namun ini adalah peluang terbaik buat para pemain dalam aspek kesukanan.
“Kami akan berikan usaha yang maksimum untuk mara ke final. Kami mahu mencari kemenangan untuk diri sendiri, masa depan kami serta penyokong setia yang sentiasa berada di belakang pasukan dalam apa jua keadaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Bercakap mengenai misi peribadinya, Milos berkata, dia sentiasa memiliki keinginan untuk meledak jaringan, dan berhasrat dapat sekali lagi menembusi pintu gol PDRM FC, seperti dilakukan dalam perlawanan separuh akhir pertama.
“Namun seperti yang pernah saya tegaskan sebelum ini, kejayaan pasukan sentiasa menjadi keutamaan. Tanpa usaha berpasukan, saya sendirian tidak dapat melakukan apa-apa,” katanya.
Tambahnya, beliau percaya dengan kemampuan setiap pemain yang masih terus bersama KDA FC ketika ini.
“Para pemain ini sememangnya berbakat dan kini terpulang kepada mereka untuk membuktikan nilai masing-masing dan membuktikan kualiti yang ada pada diri,” katanya.-UTUSAN