PETALING JAYA: Pertahanan Kuala Lumpur City (KL City), Giancarlo Gallifuoco bersedia merebut tempat dalam skuad Harimau Malaya sebaik sahaja proses naturalisasinya selesai dalam masa terdekat.
Pemain yang lahir di Sydney, Australia itu juga berharap peluang berkenaan akan diberikan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi dirinya menabur bakti kepada skuad kebangsaan.
Gallifuoco,31, menunggu lampu hijau daripada FAM dan barisan kejurulatihan Harimau Malaya untuk dipanggil menjalani kem latihan skuad kebangsaan pada masa akan datang.
“Saya sudah mendengar khabar angin itu juga, ini tahun kelima saya (di Malaysia). Sudah tentu jika saya diberi peluang (mewakili Harimau Malaya), saya amat menyukainya.
“Tetapi itu hanya khabar angin dan semuanya terpulang kepada FAM dan (pengurusan) skuad kebangsaan untuk putuskan.
“Tetapi jika saya diberi penghormatan terbabit, saya cukup bersyukur kerana saya sayangkan Malaysia dan ini rumah saya,” kata bekas pemain Melbourne Victory itu.
Untuk rekod,sejak beraksi bersama KL City pada 2020, Gallifuoco telah melakukan 107 penampilan, empat gol dan satu bantuan gol.
Jika Gallifuoco sah dinaturalisasikan, sudah pastinya skuad Harimau Malaya memiliki lebih banyak pilihan terutamanya untuk memperkuatkan barisan pertahanan menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac ini.-UTUSAN