PETALING JAYA: Sukan Musim Sejuk Asia 2025 di Harbin, China melabuhkan tirainya dengan aksi penuh dramatik yang menyaksikan peluncur ski alpine negara, Aruwin Sallehuddin, hampir meraih podium dalam penampilan sulung untuk kontinjen Malaysia.
Menamatkan saingan di tempat keempat, Aruwin membuktikan bahawa atlet Malaysia mampu bersaing dengan jaguh-jaguh ski Asia yang lebih berpengalaman dan mendapat sokongan besar.
Beliau mengakui kejayaan ini di luar jangkaan, memandangkan sukan ski alpine selama ini didominasi negara-negara dengan iklim sejuk serta infrastruktur lengkap.
“Sukan Musim Sejuk Asia pertama saya telah berakhir. Tempat ke-4, tetapi saya meninggalkan Harbin dengan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia.
“Sejujurnya, saya tidak pasti sama ada kedudukan lima teratas boleh dicapai. Hal ini kerana para atlet yang bertanding di sini adalah antara yang terkuat di Asia
“Mereka juga turut disokong oleh persekutuan yang lebih besar dan mempunyai dana lebih besar yang telah bersaing dalam sukan ini selama beberapa dekad,” kata Aruwin.
Temasya edisi kali ini juga menyaksikan persaingan sengit antara kuasa besar Asia seperti Jepun, Korea Selatan dan China yang terus mengukuhkan pengaruh mereka dalam sukan musim sejuk.
Dalam pada itu, Aruwin berterima kasih kepada pasukan kecilnya, keluarga, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta Majlis Sukan Negara (MSN) atas sokongan yang membantunya memberi saingan sengit di Harbin.
“Saya berhutang penghargaan terbesar kepada pasukan kecil saya yang menakjubkan, keluarga saya, MOM, MSN, dan semua yang terus menyokong saya,” ucapnya.
Atlet berusia 21 tahun itu tidak akan kembali ke tanah air, sebaliknya bergegas ke Saalbach-Hinterglemm, Austria bagi Kejohanan Ski Dunia Saalbach 2025 yang bermula pada 4 hingga 16 Februari ini.-UTUSAN