PETALING JAYA: Arif Aiman Hanapi mungkin bimbang nasib sama akan menimpanya seperti mana berlaku kepada rakan-rakan sepasukan yang memilih berhijrah ke luar negara.
Bukti itu telah dilihat di depan matanya sendiri apabilai rakan seperjuangan di JDT sebelum ini iaitu Safawi Rasid dan juga Nazmi Faiz Mansor berdepan kemerosotan prestasi di luar negara.
Selain itu, pemain seangkatan dengannya iaitu Luqman Hakim Shamsudin juga bergelut di luar negara dan gagal mendapatkan tempat untuk beraksi dalam skuad utama pasukan disertainya.
Safawi terbang ke Portugal secara pinjaman bersama Portimonense SC pada Oktober 2020 dan hanya sempat menimba ilmu selama tiga bulan sebelum kembali menyarung jersi JDT.
Keputusan Safawi dilihat seolah-olah memakan diri apabila mengalami kemerosotan prestasi, walaupun sebelum ke Portugal, bintang JDT itu antara pemain terbaik Liga Malaysia (Liga M).
Perkara sama turut berlaku kepada Nazmi Faiz yang menyertai kelab Divisyen Satu Portugal, S.C Beira Mar pada 2012, namun kariernya hanya bertahan selama lapan bulan sebelum menamatkan kontrak tiga tahun itu secara mengejut.
Luqman Hakim pula berhijrah ke kelab Belgium, KV Kortrijk pada Julai 2020 sebelum dipinjamkan ke Njardvik FC di Iceland untuk mencari minit permainan selain turut dipinjamkan ke YSCC Yokohama di Jepun pada tahun lalu.
Kerana tidak banyak diberikan minit permainan sepanjang berada di Eropah dan juga Jepun, nama Luqman Hakim juga tercicir daripada panggilan skuad Harimau Malaya sebelum ini.- UTUSAN