Arif Aiman enggan berpisah dengan JDT

Arif Aiman enggan berpisah dengan JDT

ARIF AIMAN HANAPI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bintang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi akan terus kekal dalam jangka masa panjang bersama skuad Harimau Selatan kerana memiliki misi peribadinya yang belum selesai.

Menguatkan lagi perkara itu apabila Arif Aiman menegaskan pendirian itu dalam temu bual bersama Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), the-AFC.com yang mana dia ditanya mengenai matlamat jangka panjang dan adakah dia bercita-cita untuk beraksi di luar negara.

Tonggak Harimau Malaya itu menjawab bahawa matlamat jangka panjangnya ketika ini adalah untuk meningkatkan prestasi di tahap tertinggi bersama JDT.

“Matlamat jangka panjang saya adalah untuk terus meningkat sebagai pemain dan terus beraksi pada tahap tertinggi untuk JDT. Saya perlu terus bekerja keras untuk berada di tempat saya hari ini.

“Saya berasa tahap saya masih belum cukup, jadi saya akan terus berusaha dan menumpukan kepada matlamat yang tinggi,” katanya.

Terdahulu, laman penyokong iaitu Rangers Journal mengiktiraf bakat dan kualiti yang dimiliki Arif Aiman, mereka juga mencadangkan supaya kelab Scotland itu membawa masuk bintang berusia 23 tahun berkenaan.

Selain itu, terdapat juga laporan yang mendakwa bahawa Arif Aiman mendapat tawaran lumayan daripada kelab Iran.

Susulan itu, terdapat cadangan daripada beberapa pihak supaya Arif Aiman dan JDT membuat pertimbangan sewajarnya untuk pemain JDT itu berhijrah ke kelab luar negara.

Menerusi temu bual sama, Arif Aiman turut mendedahkan ‘orang kuat’ di belakangnya yang membantu dia hingga menjadi antara pemain terbaik di Malaysia adalah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

“Impian saya dari kecil adalah untuk menjadi pemain bola sepak yang berjaya. Selama ini saya mendapat sokongan yang hebat, terutama daripada ibu bapa saya yang banyak menyokong dan mendoakan kejayaan saya sejak kecil.

“Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail juga amat menyokong dan memainkan peranan dalam perkembangan saya di JDT. Saya akan terus bekerja keras kerana mentaliti saya adalah untuk sentiasa memperbaiki diri,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya