ROTTERDAM: Pemain No. 3 dunia, Carlos Alcaraz merangkul kejuaraan sulung di gelanggang tertutup selepas menewaskan wakil Australia, Alex de Minaur 6-4, 3-6, 6-2 pada perlawanan akhir Terbuka Rotterdam, semalam.
Kemenangan itu menyaksikan bintang Sepanyol berusia 21 tahun itu meraih gelaran ke-17 dalam kariernya di Jelajah ATP, sekali gus menjadi pemain paling muda dalam sejarah yang menjuarai kejohanan di gelanggang tanah liat, rumput, keras dan keras dalam dewan.
Alcaraz, yang memulakan musim ini dengan kekalahan suku akhir di Terbuka Australia kepada Novak Djokovic, tampil lebih bertenaga di Rotterdam biarpun bergelut dengan selesema sepanjang minggu.
“Ia telah menjadi minggu yang sangat baik. Datang ke sini tidak berasa 100% sihat dengan selesema, setiap hari saya rasa semakin baik dan lebih baik terima kasih kepada (pasukan).
“Semua orang di rumah juga, saya hanya mahu mengucapkan terima kasih. Saya bukan seorang yang sering mengatakan ini, tetapi saya benar-benar mahu memberitahu anda. Saya sayang anda semua.
“Terima kasih untuk segala-galanya yang anda lakukan untuk saya,” ucap Alcaraz.
Untuk rekod, Alcaraz muncul pemain pertama dari Sepanyol yang menjuarai Terbuka Rotterdam selepas dua legenda tenis negara itu, Juan Carlos Ferrero dan Rafael Nadal, tewas dalam final masing-masing pada 2004 dan 2009.
Dia juga menjadi pemain pertama dalam tempoh 21 tahun yang memenangi kejuaraan itu dalam penampilan sulungnya di Rotterdam selepas Lleyton Hewitt melakukannya pada 2004. – AGENSI