Adik-beradik Sahrom berentap di separuh akhir pecut ACC 2025

Adik-beradik Sahrom berentap di separuh akhir pecut ACC 2025

MUHAMMAD Shah Firdaus Sahrom meraikan kejayaannya mara ke separuh akhir acara pecut individu elit lelaki pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 di Velodrom Nasional Nilai, hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NILAI: Pasangan dua beradik pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Ridwan Sahrom mara ke separuh akhir acara pecut individu lelaki selepas mengatasi lawan masing-masing di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 di Velodrom Nasional Nilai, hari ini.

Shah Firdaus terlebih dahulu turun menentang wakil Thailand, Jai Angsuthasawit pada aksi suku akhir, menang 2-1 sekali gus mara ke separuh akhir.

Pelumba berusia 30 tahun itu seterusnya akan menentang atlet Jepun, Shinji Nakano pada perebutan tempat ke final esok.

Adiknya, Ridwan turut mempamerkan kayuhan bertenaga apabila bangkit menewaskan pelumba China, Liu Qi 2-1 pada aksi suku akhir, hari ini.

Bagaimanapun, Ridwan berdepan cabaran getir apabila bertemu dengan pelumba berkelas dunia dari Jepun, Kaiya Ota.

Sementara itu, bagi aksi wanita pula, pelumba sensasi negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri turut mara ke separuh akhir selepas menewaskan rakan senegara, Nurul Alyssa Farid 2-0.

Lebih manis, pelumba berusia 22 tahun itu memecahkan rekod kebangsaan dalam aksi kelayakan terlebih dahulu dengan catatan 10.685 saat (s), sekali gus memadam rekodnya sendiri yang dilakukan pada Sukan Olimpik Paris 2024 (10.709s).

Dalam pada itu, bagi aksi remaja pula, Nur Umairah Qhaisara Zulfikha Razak berjaya membawa pulang pingat perak menerusi acara keirin wanita.

Pingat emas menjadi milik pelumba Korea, Park Yebeen manakala atlet Taiwan, Liu Shang Ying membawa pulang gangsa.

Selain itu, Dania Avriel Alviera Azif turut membawa pulang pingat gangsa menerusi acara perlumbaan scratch.

Pada acara berkenaan, Park Hyerin memenangi pingat emas manakala Gulnaz Khurmetbekkyzy dari Kazakhstan meraih gangsa.

Saingan kategori para pula menyaksikan kem berbasikal negara berjaya menuai satu emas, perak dan gangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya