Aaron-Wooi Yik rangka strategi menjelang All England

Aaron-Wooi Yik rangka strategi menjelang All England

Pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik ketika sesi latihan skuad badminton negara, di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kini dalam proses mengubah corak permainan menjelang saingan All England yang akan berlangsung bulan depan.

Ketua jurulatih beregu lelaki kebangsaan, Herry Iman Pierngadi berkata, juara dunia 2022 itu sedang menerapkan strategi yang lebih agresif, selaras dengan trend beregu terbaik dunia.

Menurut Herry, antara aspek utama yang diberi penekanan adalah mengurangkan angkatan bola (lift) dan menggantikan dengan permainan lebih mendatar serta menekan lawan.

“Kalau saya tengok sebelum ini, mereka masih banyak angkat bola.

“Tapi saya mahu mereka ikut pola permainan ‘no lift’. Saya harus paksakan mereka,” kata Herry kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), semalam.

Herry mengakui bahawa perubahan ini mengambil masa kerana Aaron-Wooi Yik sudah lama berlatih dengan strategi sedia ada.

“Kita ubah (strategi) tidak boleh cepat, sebab mereka sudah pemain terbaik dunia. Jadi, perubahan ini perlu dilakukan secara perlahan-lahan, tetapi saya nampak kemajuan yang baik dalam seminggu lebih ini,” tambahnya.

Aaron-Wooi Yik sebelum ini memulakan musim 2025 dengan prestasi hambar di Terbuka Malaysia pada Januari, namun mara ke separuh akhir dalam dua kejohanan terakhir iaitu Terbuka India dan Indonesia Masters.

Mengulas mengenai sasaran, Herry menegaskan fokus utama mereka kini adalah menampilkan prestasi terbaik di All England yang juga kejohanan paling berprestij dalam kalendar badminton dunia.

“Persiapan masih berbaki tiga minggu, jadi kita akan lihat peningkatan mereka. Seminggu sebelum berlepas ke England, latihan akan dipertingkatkan lagi.

“Selain Aaron-Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mampu memberi saingan sengit dalam kejohanan itu,” katanya.

Kejohanan Badminton All England dijadual berlangsung dari 12 hingga 17 Mac ini di Utilita Arena Birmingham.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya