Victor pening hanya 14 pemain KDA FC turun latihan

Victor pening hanya 14 pemain KDA FC turun latihan

Pemain Kedah Darul Aman FC kembali berlatih dalam Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH) di Alor Setar. - SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Ketua jurulatih sementara Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Victor Andrag berdepan tugas sukar dalam menentukan kesebelasan utama dalam aksi menentang Kelantan Darul Naik (KDN), malam ini.

Ini selepas hanya 14 pemain yang turun menjalani latihan bersama pasukan sejak kebelakangan ini, sekali gus merencatkan percaturan yang dirancang untuk meneruskan kelangsungan dalam saingan Liga Super.

Menurut Victor, tugasnya ketika ini menjadi lebih mencabar apabila tiga daripada pemain yang turun menjalani latihan itu tidak cergas sepenuhnya kerana baru pulih kecederaan termasuk penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad.

“Syafiq baru pulih kecederaan buku lali yang dialami ketika Piala ASEAN baru-baru ini. Dalam keadaan sekarang, dia dilihat tidak dapat memulakan perlawanan sebagai kesebelasan utama namun mungkin boleh diturunkan sebagai gantian.

“Selain Syafiq, dua lagi pemain yang belum cergas sepenuhnya adalah penyerang import, Ebenezer Assifuah yang baru pulih kecederaan paha dan pertahanan, Akmal Zahir yang mengalami sakit gigi baru-baru ini.

Setakat ini, saya belum ada bayangan siapa akan diturunkan sebagai kesebelasan utama kerana situasinya tidak mudah,” katanya.

Ketika ini kalangan pemain KDA FC berdepan tunggakan gaji yang sudah mencecah 10 bulan sehingga beberapa pemain terutama pemain import terpaksa angkat kaki berhijrah.

Mengulas penghijrahan Shukrob Nurulloev, Faiz Nasir dan Cleylton Santos, Victor berkata, kelibat mereka pasti akan dirindui kerana masing-masing memainkan peranan penting terhadap perjalanan pasukan musim ini.

“Sentuhan mereka sudah tentu akan dirindukan tetapi saya berharap siapa saja yang terpilih untuk menggantikan mereka dalam kesebelasan utama akan memberikan yang terbaik.

“Ketika ini ada beberapa pemain senior yang boleh diharap untuk menggantikan Cleylton sebagai kapten pasukan namun saya tidak boleh mendedahkan siapa orangnya yang akan diberi tanggungjawab itu,” katanya.

Mengulas pertemuan dengan KDN yang turut berdepan masalah gaji, Victor meminta tidak memandang rendah kemampuan pemain pasukan itu atau membuat kesimpulan mudah.

“Apa yang lebih penting adalah karakter yang ditunjukkan pemain di padang. Siapa yang sanggup untuk menampilkan aksi terbaik dan menyumbang kepada pasukan akan menang. Saya selalu pesan kepada pemain untuk sentiasa tunjuk karakter positif di padang,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya