PETALING JAYA: Jawatankuasa bebas tanpa kehadiran mana-mana individu yang mewakili Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) termasuk dari pihak sekretariat badan induk itu perlu ditubuhkan.
Ini selepas pelbagai isu timbul menjelang Kongres Pemilihan FAM pada 15 Februari depan termasuk dua kes membabitkan borang pencalonan yang tidak mendapat daripada dua Persatuan Negeri (FA).
Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa berkata, isu penipuan borang pencalonan berlaku ekoran kehadiran beberapa individu dalam Jawatankuasa Pemilihan itu yang boleh menimbulkan pelbagai andaian dan persepsi negatif meskipun difahamkan terdapat peraturan dalam statut FAM yang membenarkannya.
“Kita jangan jadi institusi Pak Kadok. Kalau tidak mahu dilabel institusi Pak Kadok, maka perlulah membersihkan apa saja kelemahan yang ada dengan membentuk jawatankuasa bebas, yang benar-benar bebas tanpa penglibatan secara langsung mahupun tidak langsung.
“Mereka juga boleh wujudkan jawatankuasa pemerhati luar daripada FAM untuk memberi jaminan yang pemilihan ini dilihat telus dan profesional.
“Kita tidak mahu orang-orang yang mempunyai kepentingan peribadi yang tinggi untuk mengeksploitasi sebab orang itu berada dalam sistem FAM dan mereka akan mengggunakan kedudukannya sebab mereka juga bertanding,” katanya.
Sadek juga menyeru FAM supaya lebih bersifat terbuka dalam melakukan perubahan dan bertindak pantas dalam mengatasi kelompongan serta kelemahan statut sedia ada sebelum kongres berjalan.
“FAM kena terbuka dalam aspek ini. Mungkin dalam statut membenarkan, tapi ia bukan kitab Al-Quran yang tidak boleh diubah. FAM perlu cakna lebih awal tentang kelompongan dan kelemahan statut agar ia diubah lebih awal sebelum kongres dijalankan.
“Apabila tiada kesedaran atau mungkin sengaja mahu mengeksploitasi kelemahan itu, maka timbullah pelbagai persepsi yang akhirnya menghilang kepercayaan peminat dan masyarakat,” jelasnya.
Terdahulu, pemilihan kepimpinan baharu FAM difahamkan berlakunya dua kes penipuan borang pencalonan ketika tarikh tutup penghantaran borang pencalonan akan berakhir Khamis depan.
Terdahulu, Persatuan Bolasepak Cina Malaysia (MCFA) mengakui kecewa apabila terdapat pegawai atasan MCFA menghantar borang pencalonan tanpa pengetahuan Presiden dan barisan Exco lain.
Terbaharu, isu sama berlaku membabitkan Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) dengan kedua-dua persatuan itu kini mempertimbangkan untuk membuat laporan polis.
Berikutan itu, FAM menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Noor Azman Rahman memandang serius perkara itu dan menegaskan isu berkenaan perlu diselesaikan sebaiknya di peringkat dalaman FA masing-masing.
Kongres pemilihan FAM bakal diadakan 15 Februari ini dengan borang pencalonan akan ditutup pada Khamis depan iaitu 16 Januari ini.-UTUSAN