PETALING JAYA: Bahang Kongres Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semakin panas apabila dikhabarkan tiga bekas pemain kebangsaan bakal membuat kemunculan dengan merebut jawatan yang dipertandingkan.
Sumber dalaman FAM, tidak menolak kemungkinan senarai nama yang tersebar di media sosial yang menyenaraikan dua bekas pemain iaitu Datuk Dollah Salleh, Datuk Zainal Abidin Hassan berada di kem yang sama.
Dalam senarai tersebut, bekas jurulatih Harimau Malaya, Dollah dikatakan bakal merebut jawatan Naib Presiden FAM manakala bekas pengendali Selangor, Zainal pula merebut jawatan Exco.
“Saya boleh katakan itu merupakan senarai salah satu kem yang dijangka akan bertanding pada Kongres FAM nanti. Namun, difahamkan Datuk Ramlan Askolani turut berada dalam senarai pencalonan bagi merebut jawatan Exco dalam FAM.
“Bagaimanapun, senarai tersebut tidak dapat dipastikan selagi borang pencalonan tidak dihantar kepada FAM,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sekiranya ketiga-tiga bekas pemain kebangsaan itu sah bertanding borang pencalonan perlu dihantar selewat-lewatnya 16 Januari ini bagi bertanding dalam Kongres FAM yang bakal diadakan pada 15 Februari.
Pemilihan FAM dijangka sengit dan badan induk itu bakal diterajui kepimpinan baharu selepas Tan Sri Hamidin Mohd Amin mengesahkan tidak akan mempertahankan jawatannya.
Sebagai rekod, untuk jawatan presiden, calon yang mahu merebut kerusi panas itu perlu mendapatkan enam sokongan bagi melayakkan dirinya untuk bertanding jawatan itu.
Manakala bagi Timbalan Presiden FAM pula, seseorang itu memerlukan lima pencalonan diikuti empat untuk jawatan Naib Presiden dan Exco (Ahli Jawatankuasa Eksekutif) dua pencalonan.-UTUSAN