PETALING JAYA: Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub bersedia membalas kepercayaan yang diberikan ahli gabungan terhadapnya selepas menjadi calon tunggal bagi jawatan presiden badan induk itu bagi penggal 2025-2029.
Joehari bakal diumumkan menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden FAM menggantikan tempat Tan Sri Hamidin Mohd Amin pada kongres berkenaan pada 15 Februari depan.
Justeru, beliau sudah boleh berkira-kira mengenai perancangan awal yang mahu dilakukan bersama barisan kepemimpinan yang baharu dalam usaha memenuhi harapan besar seluruh peminat bola sepak tanah air.
Apapun, beliau enggan mengulas lebih lanjut ketika ditanya mengenai perancangan dan apa perkara baharu yang ingin dibawanya untuk memartabatkan Bolasepak Malaysia mencipta lebih banyak kejayaan di peringkat antarabangsa.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli gabungan FAM yang telah mencalonkan nama saya untuk jawatan Presiden FAM.
“Ini menunjukkan bahawa mereka memberi sepenuh kepercayaan dan keyakinan kepada saya untuk menerajui FAM selepas Tan Sri Hamidin Mohd Amin tidak mempertahankan jawatan ini.
“Apa pun, kita tunggu hari Kongres FAM 2025 pada 15 Februari depan untuk formaliti saya memulakan tugas sebagai Presiden FAM bersama-sama barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif lain yang akan dipilih pada hari tersebut,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.
Joehari mencipta sejarah baharu buat bola sepak Sabah apabila menjadi individu pertama daripada negeri itu menjadi presiden FAM.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan FAM Prof. Datuk Abdullah Mohamad Said mengumumkan Joehari merupakan satu-satunya calon bagi kerusi nombor satu itu sehingga pencalonan bagi pemilihan Jawatankuasa Eksekutif ditutup 5.30 petang Khamis lalu.
Senarai itu juga menyaksikan dua penyandang Timbalan Presiden, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram bakal mengekalkan jawatan mereka.-UTUSAN