KUALA LUMPUR: Satu lagi beregu campuran negara menjejakkan kaki ke separuh akhir, selepas Chen Tang Jie-Toh Ee Wei membenam cabaran pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito di peringkat lapan terbaik pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.
Gandingan No. 5 dunia itu melakar kemenangan straight set 21-11, 21-18 dalam masa 36 minit ke atas beregu No. 14 dunia tersebut.
Kejayaan melangkah ke separuh akhir merupakan pencapaian terbaik Tang Jie-Ee Wei pada Terbuka Malaysia, mengatasi penampilan mereka dalam edisi 2023 selepas mara ke peringkat 16 terbaik.
Kemenangan itu juga menyaksikan rekod pertemuan di antara kedua-dua beregu kini semakin melebar berpihak kepada Tang Jie-Ee Wei 4-2.
Pada separuh akhir, esok, beregu campuran No. 1 negara itu bakal berdepan cabaran terbesar apabila turun beraksi menentang gandingan No. 1 dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China.
Rekod pertemuan 2-4 yang berpihak kepada Yan Zhe-Dong Ping sudah cukup memberi gambaran kekuatan beregu lawan tersebut.
Namun, Tang Jie-Ee Wei bukan tidak pernah menewaskan beregu handalan China itu yang mereka lakar pada Sukan Olimpik 2024 di Paris menerusi kemenangan 17-21, 21-15, 21-16.
“Yan Zhe-Dong Ping merupakan beregu yang sangat konsisten dan kuat dalam saingan beregu campuran, jadi, kami akan cuba memberikan tentangan sebaik mungkin,” kata Tang Jie ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berakhir.
Mengulas mengenai kejayaan dua beregu negara ke separuh akhir, Ee Wei pula berkata, kemaraan dua beregu campuran mara ke peringkat empat terbaik merupakan satu pencapaian yang membanggakan.
“Sebagai rakyat Malaysia saya bangga berpeluang mewakili negara, sudah tentu kedua-dua beregu akan memberikan yang terbaik dan bagus jika kami dapat masuk ke final,” katanya.
Dalam aksi terdahulu, beregu No. 6 dunia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai turut mara ke separuh akhir selepas menewaskan gandingan No. 11 dunia dari China, Cheng Xing-Zhang Chi 21-15, 22-20 dalam masa 47 minit. – UTUSAN