KUALA LUMPUR: Beregu campuran No. 6 dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mempunyai potensi untuk merangkul gelaran pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil, minggu depan, jika mampu bermain secara konsisten.
Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto berkata, naib juara Jelajah Dunia Akhir itu perlu memiliki perwatakan dan mentaliti yang kuat untuk berdepan pencabar mereka dalam laluan ke final.
“Saya pernah memberitahu Tang Jie-Ee Wei yang mereka boleh menang dan tewas kepada sesiapa sahaja.
“Selaku rumah rumah tidak mudah buat mereka, saya kalau boleh enggan nyatakan sebarang sasaran kerana saya bimbang Tang Jie-Ee Wei akan berasa lebih tertekan.
“Cuma saya berharap mereka berikan yang terbaik, isu Tang Jie-Ee Wei ialah mereka tidak konsisten,” katanya ketika ditemui pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Bagaimanapun, Nova memuji beregu bimbingannya itu yang memiliki kekuatan mencipta kebangkitan ketika keciciran mata kepada lawan mereka.
“Itu kelebihan yang mereka ada dan jika prestasi konsisten berjaya dijelmakan, maka, tidak mustahil kejuaraan mampu menjadi milik Tang Jie-Ee Wei,” katanya.
Pada peringkat 32 terbaik, gandingan No. 1 negara itu bakal berdepan pasangan kurang ternama dari Taiwan, Wu Shuan Yi-Yang Chu Yun.
Jika mara ke pusingan kedua, Tang Jie-Ee Wei yang diletakkan sebagai pilihan ketiga berpotensi menentang rakan senegara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang perlu melepasi halangan satu lagi beregu Taiwan, Lu Ming Che-Hung En Tzu terlebih dahulu dalam aksi pembukaan.
Mengulas mengenai Pang Ron-Su Yin yang tampil buat kali pertama pada Terbuka Malaysia, Nova berharap beregu No. 21 dunia itu tidak terlalu gementar beraksi di hadapan penyokong sendiri.
“Kadang kala pemain muda seperti Su Yin ini akan terlalu gementar, tetapi, saya harap ia tidak berlaku kepadanya dan saya yakin dia lebih berani,” katanya.
Selain dua beregu tersebut, Malaysia juga mempunyai tiga lagi wakil iaitu pasangan No. 7 dunia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien.-UTUSAN