PETALING JAYA: Pemain beregu campuran profesional negara, Shevon Lai mahu melakar sejarah baharu di Terbuka India dengan melepasi peringkat suku akhir yang sebelum ini menjadi pencapaian terbaik mereka di kejohanan itu.
Semalam, beliau bersama pasangannya, Goh Soon Huat dipaksa bekerja keras selama 59 minit menumpaskan gandingan Jepun, Yuta Watanabe-Maya Taguchi, 10-21, 21-19, 16-21 untuk mara ke suku akhir kejohanan bertaraf Super 750 itu.
“Kami pernah sampai ke suku akhir sebelum ini, tetapi kali ini kami benar-benar mahu melangkah lebih jauh. Jika berjaya naik ke podium, ini akan menjadi podium pertama kami untuk tahun ini.
“Jika kami berjaya ke podium, ianya akan memberi motivasi besar untuk kami terus konsisten. Kami ingin membuktikan keupayaan berada dalam kalangan terbaik dunia, dan kemenangan di sini sangat bermakna,” kata Shevon.
Pasangan suami isteri yang menghuni ranking keempat dunia itu akan pasangan Taiwan, Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang pada aksi suku akhir hari ini.
Untuk rekod, Soon Huat-Shevon terkandas pada aksi suku akhir pada edisi tahun lalu manakala pada 2023 mereka tersingkir seawal pusingan pertama.
Sementara itu, beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, bangkit dari ketinggalan set pertama untuk mengetepikan juara Terbuka Malaysia 2025 minggu lalu, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran 19-21, 21-12, 22-20.
Pasangan No. 3 dunia itu akan bertemu satu lagi gandingan Thailand, Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat pada aksi suku akhir, hari ini selepas mereka menewaskan pasangan China, Cheng Xing-Zhang Chi, 17-21, 22-20, 17-21.-UTUSAN