PETALING JAYA: Skuad hoki dalam dewan negara perlu membuktikan sesuatu dalam kempen Piala Dunia 2025, biarpun tidak diletakkan sebarang sasaran oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).
Ketua jurulatih negara, Rodzhanizam Mat Radzi berkata, dia bersama barisan kejurulatihan dan pemain secara peribadi menetapkan sasaran untuk sekurang-kurangnya mara ke suku akhir kejohanan.
Kejohanan yang berlangsung di Porec, Croatia pada 3 hingga 9 Februari itu menyaksikan 12 pasukan bertanding diletakkan dalam tiga kumpulan menawarkan tiket ke suku akhir kepada dua teratas.
Pasukan yang berada di kedudukan kesembilan hingga ke-12 pula akan beraksi dalam perlawanan klasifikasi.
“Semua tahu kita pertama kali layak menyertai Piala Dunia dan kita sudah membuat analisa terhadap setiap lawan yang kita akan berjumpa nanti dan memang kita tahu dalam kumpulan, lawan adalah juara di benua masing-masing.
“KHM tidak menetapkan sasaran tetapi sebagai jurulatih dan pemain kami akan pergi setinggi mana yang boleh untuk kita bertanding.
“Saya selalu pesan kepada pemain kita pergi bukan sebagai pelengkap tetapi untuk bersaing,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengumumkan senarai 12 pemain Piala Dunia 2025.
Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama juara dunia tiga kali, Jerman, juara Amerika Selatan, Argentina dan juara Asia, Iran.
Sementara itu, Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, badan induk itu tidak menetapkan sasaran kepada skuad negara selepas mengambil kira beberapa faktor.
“Kita tiada infrastruktur seperti stadium atau tempat untuk latihan serta tiada sokongan kewangan, Pemain dan jurulatih buat kerana mereka sayangkan negara dan mereka menerima elaun minimum daripada KHM,” katanya.
Skuad negara akan berlepas ke Austria hari ini bagi menghadapi empat aksi persahabatan di negara itu sebelum bertolak ke Croatia pada 29 Januari.
Anak buah Rodzhanizam turut mengadakan dua aksi persahabatan menentang Belgium (31 Januari) dan Australia (1 Februari).-UTUSAN