Selamat bersara Vivian!

Selamat bersara Vivian!

VIVIAN Hoo berswafoto dengan peminat di Axiata Arena pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAMA lebih sedekad Vivian Hoo menabur baktinya kepada negara dan pada 9 Januari 2025 di hadapan ribuan peminat di Axiata Arena, Bukit Jalil, pemain itu meletakkan tanda noktah kepada kariernya.

Vivian yang bergandingan dengan Lim Chiew Sien, ditunjukkan jalan keluar oleh beregu No. 1 dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China selepas tewas 6-21, 5-21 pada peringkat 16 terbaik Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025.

Mengimbas kembali pembabitan pemain yang bakal menginjak usia 35 tahun pada 19 Mac ini, Vivian sebenarnya pernah cuba berjinak-jinak sebagai pemain perseorangan ketika remaja, selain dalam masa sama turut beraksi dalam acara beregu wanita dan juga campuran.

Tetapi, bermula 2010 Vivian yang bakatnya digilap oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) digandingkan bersama Woon Khe Wei dan Terbuka Malaysia menjadi pentas pertama mereka.

Pada tahun yang sama Vivian-Khe Wei melakar sejarah dalam karier mereka yang masih ranum apabila meraih pingat perak pada Kejohanan Asia di New Delhi, India.

Mereka tewas kepada beregu China, Pan Pan-Tian Qing 10-21, 6-21 dalam perlawanan akhir dan pada ketika itu, Vivian hanya berusia 20 tahun, manakala, Khe Wei 21 tahun.

Selain pingat perak Kejohanan Asia, Vivian-Khe Wei juga pernah muncul beregu wanita terbaik negara apabila mara sehingga ke suku akhir pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Namun, rekod itu dipadam oleh beregu No. 6 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah yang mengukir sejarah baharu menempah laluan sehingga ke separuh akhir pada temasya 2024 di Paris, Perancis.

Vivian-Khe Wei juga pernah memenangi dua pingat emas Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland untuk acara beregu wanita dan berpasukan campuran, manakala, sewaktu bergandingan dengan Chow Mei Kuan, dia turut meraih emas pada temasya 2018 di Gold Coast, Australia.

Pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan, Vivian-Khe Wei memenangi pingat gangsa dan penampilan di peringkat serantau pula, Sukan SEA 2013 di Naypidaw, Myanmar menjadi penampilan terbaik beregu itu apabila membawa pulang pingat emas.
Selepas menggantung raketnya, anak jati Kuala Lumpur itu berkata, dia akan membuka sebuah akademi badminton di Balakong, Selangor dan menyimpan impian untuk melahirkan lebih ramai pemain badminton wanita.

“Kita masih ketandusan pemain wanita, sejak dulu tiada banyak perubahan yang ketara dan saya berharap melalui akademi saya nanti, saya dapat membantu melahirkan lebih ramai pemain wanita berbakat,” katanya ketika ditemui di Axiata Arena, Khamis lalu.

Ketika ditanya tentang perkara yang akan dirindui selepas tidak lagi bergelar atlet kebangsaan, Vivian berkata, dia sudah tentu merindui teman-teman seperjuangannya, tetapi, dalam masa sama dia gembira tidak lagi perlu bangun awal pagi untuk menyertai sesi latihan.

“Saya mungkin rindu kawan-kawan, tetapi, saya tak rindu kena bangun awal untuk menyertai sesi latihan.

“Saya juga mahu luangkan banyak masa dengan keluarga, semasa aktif bermain sukar untuk saya bersarapan dengan keluarga, tetapi, selepas ini saya tidak akan lepaskan peluang itu lagi,” katanya.

Vivian mempunyai adik lelaki yang kini bersama skuad kebangsaan iaitu Hoo Pang Ron yang bergandingan dengan Cheng Su Yin dalam acara beregu campuran.

Kata Vivian, selama ini, adiknya itu sering menjadi tempat dia berkongsi suka dan duka sepanjang bergelar atlet.

“Kami berdua selalu bertukar pandangan dan Pang Ron juga sentiasa meminta nasihat saya jika dia memerlukannya.

“Selepas bersara, Pang Ron kembali menjadi adik lelaki saya dan saya pula akan terus menyokongnya serta menjadi peminat dia,” kata Vivian.

Untuk makluman, Pang Ron-Su Yin merupakan gandingan No. 20 dunia dan pencapaian terbaik mereka mara sehingga ke perlawanan akhir, China Masters, November lalu.-UTUSAN

 

Biodata

Nama: Vivian Hoo
Tarikh lahir: 19 Mac 1990
Tempat lahir: Kuala Lumpur
Pencapaian:
2010 – Pingat perak Kejohanan Asia, New Delhi, India
2011 – Pingat gangsa Sukan SEA, Jakarta/Palembang
2013 – Pingat emas Sukan SEA, Naypyidaw, Myanmar
2014 – Dua pingat emas Sukan Komanwel, Glasgow, Scotland
2015 – Dua pingat perak Sukan SEA, Singapura
2016 – Suku akhir Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil
2017 – Pingat perak, gangsa Sukan SEA, Kuala Lumpur
2018 – Pingat emas Sukan Komanwel, Gold Coast, Australia
2019 – Dua pingat gangsa Sukan SEA, Manila, Filipina

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya