ALOR SETAR: Meskipun berdepan isu tunggakan gaji mencecah 10 bulan, kedudukan Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam saingan Liga Super masih dianggap membanggakan setelah berada di tangga keenam daripada 13 pasukan bertanding.
Sehubungan itu ketua jurulatih sementaranya, Victor Andrag berkata, para pemain wajar menerima penghormatan oleh semua peminat bola sepak terhadap usaha dan semangat ditunjukkan di sebalik 1,001 masalah dihadapi.
Katanya, kejayaan mencatat tiga kemenangan berturut-turut dalam keadaan mereka dilanda masalah berpanjangan jelas menunjukkan betapa besar pengorbanan pemain buat pasukan itu.
“Bersandarkan semangat yang ada para pemain, mereka sememangnya harus diberi penghormatan oleh semua orang yang meminati bola sepak. Kita sudah terlalu lama berdepan pelbagai cabaran tetapi masih mampu bergerak sebagai satu keluarga.
“Tak dinafikan kita memang berdepan pelbagai masalah sampaikan siapa yang akan muncul semasa latihan pun, kita tak tahu. Bukan saja itu, malah macam-macam lagi perkara yang timbul.
“Tetapi di sebalik semua masalah itu, pemain masih mampu menyumbang buat pasukan. Tahniah kepada seluruh pasukan terutamanya pemain serta kakitangan dan inilah karakter yang ada kepada para pemain, seperti sering saya tekankan sebelum ini,” katanya.
Kelmarin, KDA FC mencatat kemenangan 1-0 ke atas sebuah lagi pasukan dilanda masalah gaji, Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) di Stadium Darul Aman hasil jaringan tunggal pemain lincah, Fayadh Zulkifli pada minit ke-16.
Victor berkata, antara rahsia yang membawa kepada keupayaan KDA FC meraih kedudukan agak baik kebelakangan ini adalah hubungan erat antara semua pihak dalam pasukan.
“Hubungan kami cukup erat. Ada kalanya saya bertegas tetapi pada masa yang lain, kami sentiasa ada untuk satu sama lain dan saling berpelukan,” katanya.
Sementara itu Victor berkata, dia gembira dengan aksi ditunjukkan pemain bawah 23 tahun, Danial Tarmizi yang diberi kepercayaan pertama kali beraksi dalam Liga Super.-UTUSAN