PETALING JAYA: Kongres Pemilihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 15 Februari depan terus dilanda kontroversi dengan timbul isu borang kosong dihantar dengan terdapat cop pengesahan daripada Persatuan Bolasepak (FA).
Isu borang pencalonan tipu terus dibangkitkan sejak ia mula diedarkan pada 24 Disember lalu dengan Persatuan Bolasepak Cina Malaysia (MCFA) dan Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) membuat aduan rasmi kepada Jawatankuasa Pemilihan FAM berhubung perkara itu.
Kali ini, situasi lebih teruk berlaku dan difahamkan seorang peguam luar negara yang pernah berkhidmat dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bakal mengheret FAM ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Sumber yang boleh dipercayai mendedahkan bahawa satu afidavit bakal dibawa ke CAS beserta bahan bukti menunjukkan wujud kesalahan yang dilakukan oleh setiausaha sebuah Persatuan Bolasepak (FA) ketika menyerahkan borang pencalonan ke Jawatankuasa Pemilihan FAM.
Menerusi dokumen pembuktian setebal 10 muka surat yang diserahkan kepada peguam itu, terdapat sekurang-kurangnya dua kesalahan yang berjaya dikesan.
Paling mengejutkan adalah pada muka surat ketujuh yang memaparkan satu borang pencalonan dibiarkan kosong tanpa mengisi nama calon bagi setiap jawatan bertanding.
Meskipun borang kosong namun terdapat cop pengesahan FA dan tandatangan setiausaha sebelum diserahkan ke Jawatankuasa Pemilihan FAM itu.
“Setiausaha menandatangani bagi pihak FA tetapi isunya di sini, pengesahan itu dibuat tanpa pengetahuan Presiden yang menjadi ketua utama sesebuah FA.
“Perkara ini yang menjadi pertikaian dan keputusan FAM untuk tidak memberi borang baharu di mana menganggap borang pencalonan tipu itu bersifat sempurna dan mengikut statut FAM akan dicabar, beserta dengan bukti-bukti yang sudah dilampirkan,” kata sumber itu.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan terdapat dua persatuan iaitu MCFA dan PBNS telah membuat aduan rasmi kepada Jawatankuasa Pemilihan FAM berkaitan penghantaran borang pencalonan yang disifatkan tipu dan tidak benar.
Kedua-dua ahli gabungan FAM itu memohon untuk membatalkan borang awal itu dan meminta borang pencalonan baharu bagi diisi semula oleh FA terbabit.
Begitupun, dilaporkan Jawatankuasa Pemilihan FAM menolak permohonan itu apabila mendakwa borang tersebut disifatkan sempurna dan memenuhi peruntukan yang terkandung dalam Artikel 10 Kod Pemilihan FAM.
Jawatankuasa Pemilihan itu juga menyatakan borang pencalonan adalah dokumen terhad kerana memiliki nombor siri dan tiada pendua.
Siapa bakal bertandingan dan menang sekali gus menjadi barisan kepimpinan baharu akan diketahui hari ini selepas borang pencalonan yang dibuka hujung Disember lalu ditutup semalam pada jam 5.30 petang.
Begitupun, Utusan Malaysia difahamkan kemungkinan besar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak akan dipertandingkan.
Ia kerana calon pilihan iaitu Datuk Mohd. Joehari Mohd Ayob dijangka menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden, sekali gus bakal muncul individu pertama dari Sabah mengisi kerusi No.1 FAM itu.
Dua lagi calon yang dijangka menang tanpa bertanding adalah Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S Sivasundaram bagi jawatan timbalan presiden, sekali gus mengekalkan jawatan disandang untuk penggal ketiga buat Yusoff dan kedua oleh Sivasundaram.-UTUSAN