ALOR SETAR: Ketua Jurulatih Sementara Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Victor Andrag mengakui apa yang dibimbanginya selepas mengambil alih tugasan daripada Nafuzi Zain pada November lalu menjadi kenyataan.
Ini selepas pasukan yang dilanda masalah tunggakan gaji hingga difahamkan mencecah 10 bulan ketika ini berdepan kesukaran untuk membentuk pasukan terbaik untuk meneruskan saingan Liga Super musim ini.
Victor yang merupakan kapten pasukan Kedah pada zaman kegemilangan ‘double treble’ 2007 dan 2008 berkata, sesi latihan pasukan itu hanya dihadiri antara sembilan hingga 12 pemain sahaja sejak kebelakangan ini.
“Dalam keadaan itu, tak banyak yang boleh saya lakukan. Setiap hari, saya tak tahu siapa pemain yang akan muncul menjalani latihan dan apabila melihat seorang demi seorang hadir, saya sentiasa bersyukur kerana sekurang-kurangnya ada juga yang datang.
“Nak salahkan pemain pun tak boleh kerana kita faham keadaan mereka. Hari ini (petang semalam) nampak ramai kerana kami berlatih bersama skuad Piala Presiden manakala jumlah pemain senior yang hadir cuma 12 orang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH), semalam.
Victor berkata, bersandarkan keadaan semasa, dia masih tidak memiliki bayangan mengenai siapa yang dapat diturunkan dalam perlawanan seterusnya menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN) dalam aksi Liga Super di gelanggang lawan pada 10 Januari depan.
“Keadaannya sangat sukar buat kami ketika ini. Semakin hari, jumlah pemain yang hadir kian berkurang dan itu menyukarkan kami untuk menyusun atur pemain bagi diturunkan pada hari perlawanan.
“Sempena tahun baharu, saya amat mengharapkan agar situasi ini dapat dipulihkan tidak lama lagi. Saya amat mengharapkan agar ada penyelesaian terhadap semua isu dalam pasukan ini,” katanya.
Kata Victor, dia bersyukur kerana Perbadanan Stadium Negeri Kedah (PSNK) masih membenarkan mereka berlatih di SSAH walaupun sebelum ini dikhabarkan mereka tidak boleh lagi berlatih di situ akibat tunggakan sewa yang besar.
“Setelah dimaklumkan yang kami tidak boleh berlatih di sini minggu lalu, masing-masing risau kerana antara padang yang dikatakan menjadi pilihan untuk berlatih adalah di Jitra. Lokasinya yang jauh menyebabkan pemain dan kakitangan pasukan ‘susah hati’ kerana kos perjalanan akan bertambah dalam keadaan masing-masing mempunyai masalah kewangan.
“Jadi apabila dimaklumkan yang rayuan kami untuk berlatih di sini diterima, kami bersyukur. Itulah situasi KDA FC kini dengan semua ini sedikit sebanyak mengganggu minda kami untuk melaksanakan perancangan terbaik,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan bahawa para pemain dan pegawai KDA FC pada minggu lalu telah dimaklumkan yang mereka tidak boleh lagi berlatih di SSAH bermula 1 Januari kerana gagal melunaskan tunggakan sewa yang terlalu besar.
Pasukan itu bagaimanapun dapat menarik nafas lega apabila PSNK pada kelmarin menerima rayuan untuk membenarkan Sang Kenari terus menggunakan padang itu dengan syarat mereka menunjukkan komitmen untuk membayar sebahagian tunggakan sewa tersebut sebelum 10 Januari depan.
Difahamkan pada minggu lalu, para pemain hanya berlatih di belakang tiang gol saja kerana mereka tidak dibenarkan berlatih di tengah-tengah padang stadium tersebut, akibat tunggakan berkenaan.- UTUSAN