LONDON: Pemain gantian, Darwin Nunez muncul wira Liverpool apabila meledak dua gol pada masa kecederaan ketika The Reds menumpaskan Brenford 2-0, sebentar tadi.
Pengurus Liverpool, Arne Slot memasukkan Nunez pada minit ke-65 bagi menggantikan Luiz Diaz bagi menguatkan lagi barisan hadapan untuk memburu jaringan.
Penyerang Uruguay itu membalas kepercayaan Slot apabila meledak gol pertama pada minit ke-91 dengan menyudahkan umpanan dari dalam kotak penalti oleh Trent Alexander Arnold.
Dua minit kemudian, Nunez sekali lagi menemui sentuhan apabila merembat deras bola ke dalam jaring Brentford selepas menerima hantaran Harvey Elliot.
Terdahulu, pada awal permainan, kedua-dua pasukan buntu mencari gol pembukaan biarpun saling melakukan asakan ke pintu gawang masing-masing.
Ketika perlawanan seakan-akan berkesudahan dengan keputusan seri, Nunez muncul membuktikan ketajaman penyudahnya dengan dua jaringan dalam masa tiga minit.
Kemenangan itu menyaksikan The Reds mengukuhkan kedudukan di carta Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 50 mata selepas 21 perlawanan.- AGENSI