SANTOS: Neymar mengesahkan kepulangan semula ke kelab yang mencungkil bakatnya, Santos selepas meninggalkan kelab Arab Saudi, Al-Hilal
Dia meninggalkan Santos pada tahun 2013 bagi meneruskan karier di Barcelona dan pada musim panas lalu menyatakan hasratnya untuk kembali ke Brazil.
Ia menjadi kenyataan selepas Al-Hilal menamatkan kontraknya yang menyaksikan dia hanya bermain tujuh perlawanan susulan kecederaan ACL.
“Masa untuk pulang, Neymar. Masa untuk anda kembali ke kampung halaman, ke kelab di hati kami.
“Selamat kembali pemain kita Ney! Budak dari Vila (Belmiro, Stadium Santos). Pulang untuk bergembira semula dengan jersi hitam putih. Santos menanti anda dengan tangan terbuka,” kata Presiden Santos, Marcelo Teixeira.
Teixeira turut berkongsi video sewaktu Neymar masih remaja dan menikmati kariernya di Santos, dengan rakaman dia menjaringkan dan meraikan gol.
Santos antara kelab gergasi Brazil dengan lapan gelaran nasional, 22 liga wilayah di Sao Paulo, dan tiga mahkota Copa Libertadores iaitu kejohanan setaraf Liga Juara-Juara di Amerika Selatan.
Legenda-legenda Brazil seperti Pele, Carlos Alberto, Coutinho, Zito dan ramai lagi pernah mewarnai Vila Belmiro dan Santos bukan nama asing di pentas Eropah pada era 60-an.
Neymar memulakan karier profesionalnya di Santos pada tahun 2009 dan membantu mereka menjuarai Copa Libertadores pada tahun 2011. – AGENSI