Natasha masih ‘dahagakan’ kejuaraan

Natasha masih ‘dahagakan’ kejuaraan

NATASHA Roslan melengkapkan kejohanan berganda berprestij dengan memenangi Piala Dunia dan Kejohanan Dunia.- IHSAN KONGRES TENPIN BOLING MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Natasha Mohamed Roslan mengakui belum puas dengan kejayaan dikecapinya dalam arena boling meskipun telah melengkapkan koleksi kejuaran dengan mengungguli Piala Dunia dan Kejohanan Dunia.

Kelmarin, Natasha memahat sejarah dalam sukan boling negara apabila menjadi pemain boling wanita pertama merangkul kejuaraan Kejohanan Piala Dunia 2025 di Kowloon, Hong Kong, sekali gus menamatkan kemarau 13 tahun Malaysia di pertandingan tersebut.

Kali terakhir Malaysia memenangi kejuaraan itu pada tahun 2012 di Wroclaw, Poland menerusi pemain lelaki negara, Syafiq Ridhwan Abdul Malek.

Pencapaian berkenaan melengkapkan koleksi kejuaraan dunia atlet berusia 28 tahun itu apabila sebelum ini memenangi Kejohanan Tenpin Boling Dunia 2023.

“Alhamdulilah dapat tamatkan kemarau 13 tahun. Sejujurnya, saya rasa seperti sedang bermimpi, Untuk menjadi wanita pertama Malaysia yang memenangi kejuaraan Piala Dunia adalah satu pencapaian yang besar buat saya.

“Bagaimanapun, saya percaya masih banyak yang perlu saya capai. Saya mahu meraih lebih banyak kejayaan untuk negara saya,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, semalam.
Katanya, kejayaan ini memberi motivasi untuk dirinya terus memburu kejuaraan demi kejuaraan dan memperbaiki beberapa kekurangan serta tidak akan berhenti mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

“Saya akan sentiasa rasa ada yang boleh saya perbaiki dan tingkatkan. Saya nak pecah banyak lagi rekod dunia.

“Jadi saya kena jaga stamina dan elak kecederaan untuk terus berada lebih lama dalam sukan ini dan mencipta lebih banyak kejayaan untuk negara.

“Apa pun, saya sangat gembira kerana segala usaha keras saya akhirnya membuahkan hasil.

“Kemenangan ini semestinya untuk keluarga dan rakyat malaysia yang sentiasa menyokong saya dan tidak putus mendoakan saya,” ujarnya.

Terdahulu, pemenang pingat emas Kejohanan Tenpin Boling Dunia 2023 itu menamatkan kemarau 53 tahun negara menjadi juara dalam kategori individu wanita sejak kejohanan itu dipertandingkan pada tahun 1972.

Pada kejohanan di Hong Kong, atlet kelahiran Selangor itu berjaya memenangi aksi final dengan keputusan 2-0 menewaskan pemain Jerman, Birgit Noreiks 217-166, 226-169.

Dalam acara lelaki, Rafiq Ismail terpaksa berpuas hati sebagai naib juara selepas tewas tipis kepada wakil China, Du Jian Chao, dengan keputusan 2-1 (222-223, 226-166, 235-193) dalam perlawanan akhir.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya