PETALING JAYA: Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) berharap 2025 akan terus menjadi musim cemerlang untuk sukan bola keranjang di Malaysia.
Pada tahun lalu sukan bola keranjang berkembang dengan kemunculan pemain muda berbakat serta peningkatan kekuatan keseluruhan pasukan negara.
Presiden MABA, Datuk Seri Lee Tian Hock berkata, segala kejayaan yang diraih adalah hasil kerjasama semua pihak yang mahu melihat perkembangan sukan itu.
“Bukan sahaja prestasi pemain tempatan semakin mantap, malah pencapaian di pentas antarabangsa turut menunjukkan peningkatan ketara.
“Lebih membanggakan, Malaysia kini mencatat sejarah apabila melahirkan pemain import Asia pertama yang beraksi dalam Liga Super Asia Timur (EASL).
“Dalam arena tempatan, liga kebangsaan serta kejohanan domestik semakin rancak dengan persaingan sengit, menjadikan bola keranjang lebih menarik untuk disaksikan.
“Semua ini tidak dapat dipisahkan daripada sokongan padu peminat yang terus menjadi tulang belakang perkembangan sukan ini,” katanya.
Tambahnya, badan induk itu akan terus bekerjasama rapat dengan 18 persatuan gabungan untuk memacu pembangunan bola keranjang di Malaysia.
“Kami akan kekal berpegang pada matlamat asal, terus berkhidmat untuk peminat, membawa lebih banyak kejohanan bertaraf tinggi, serta menganjurkan kem latihan berkualiti,” katanya.
Dalam masaa yang sama, Tian Hock akan memastikan komitmen mereka terhadap lima projek perintis utama sebagai langkah menuju ke arah kemampanan sendiri dalam sukan ini.
“Ayuh kita bekerja bersama dan terus mengangkat bola keranjang Malaysia ke tahap lebih tinggi. Selamat Tahun Baharu Cina, agar tahun ular ini terus memberi kekuatan dan kesihatan yang baik buat semua,” katanya.- UTUSAN