PETALING JAYA: Wartawan bola sepak terkenal dunia, Fabrizio Romano mendedahkan legenda Belanda, Patrick Kluivert dilantik menjadi ketua jurulatih skuad kebangsaan Indonesia.
Romano dalam hantaran di Laman Facebooknya berkata, Kluivert menandatangani kontrak selama dua tahun untuk membimbing skuad Garuda selepas Shin Tae Yong dipecat.
“Kluivert telah menandatangani kontrak sebagai ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan Indonesia, perjanjian sudah dimuktamadkan.
“Kontrak dua tahun dengan pilihan lanjutan dua tahun lagi, sesi pengenalan akan diadakan pada 12 Januari nanti di Indonesia.
“Sasarannya adalah untuk melepasi pusingan kelayakan Piala Dunia,” tulis Romano.
Terdahulu, Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) memecat Tae Yong diatas sebab yang tidak didedahkan.
Sebagai rekod, Tae Yong yang pernah membimbing skuad antarabangsa Korea Selatan dilantik menjadi pengendali Indonesia bermula Januari 2020.
Antara pencapaian cemerlang Tae ong adalah memacu Indonesia layak ke pentas Piala Asia 2023 selain bersaing dalam kempen kelayakan pusingan ketiga Piala Dunia 2026 ketika ini.-UTUSAN