PETALING JAYA: Tiga kelab Iran dipercayai berminat mendapatkan khidmat bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi untuk di bawa beraksi dalam saingan Liga Persian Gulf Pro.
Salah satu daripada kelab berkenaan dikatakan menawarkan nilai kontrak secara pinjaman yang cukup lumayan buat tonggak utama Harimau Malaya itu.
Difahamkan, kelab itu sanggup membayar sebanyak AS$300,000 atau bersamaan RM1.3 juta untuk tempoh pinjaman selama enam bulan bagi mendapatkan khidmat bintang JDT itu.
“Memang ada tawaran daripada beberapa kelab Iran, sekurang-kurangnya tiga kelab yang amat berminat untuk membawa Arif Aiman bermain di sana (di Iran).
“Tawaran bukan biasa-biasa. Ada satu kelab itu tawarkan AS$300,000, kalau duit kita dekat satu juta lebih. Tapi ada kelab lain juga tawar lebih tinggi.
“Tapi bukan senang nak bawa Arif Aiman kerana ia perlu mendapat persetujuan pihak kelab (JDT),” kata sumber tersebut.
Terdahulu, nama Arif Aiman menjadi perbualan di media sosial selepas pemain berusia 22 tahun itu dikaitkan dengan kelab Iran, Persepolis.
Selain Persepolis, satu lagi kelab iaitu Tractor FC yang kini berada dikedudukan teratas Liga Persian Gulf Pro turut dikaitkan dengan Arif Aiman.
“Kelab Iran ini berminat sebab mereka terpegun dengan aksi lincahnya bersama JDT dalam saingan ACLE (Liga Juara-Juara Asia Elit) dan ketika beraksi di Piala Asia Qatar, Januari tahun lalu,” jelasnya.
Sebelum ini, kelab penyokong Rangers FC yang dikenali sebagai The Rangers Journal meminta Ahli Lembaga Pengarah kelab itu, Nils Koppen untuk membawa masuk Arif Aiman.
Begitupun berdasarkan prestasi terkini Arif Aiman, peluang untuk JDT melepaskannya agak tipis di mana sentuhannya amat diperlukan skuad Harimau Selatan terutamanya di pentas ACLE yang menyaksikan dia telah mencetak empat gol, sekali gus berada dalam senarai penjaring terbanyak setakat ini.-UTUSAN