Jangan biar tunggakan gaji jadi kebiasaan

Jangan biar tunggakan gaji jadi kebiasaan

KEDAH Darul Aman FC antara pasukan yang terpalit dengan tunggakan gaji pada musim ini. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sudah tiba masanya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mencari solusi terbaik menyelesaikan masalah gaji yang terus menjadi barah kepada kelab-kelab yang bermain dalam saingan liga bola sepak tempatan.

Jika isu ini dibiarkan berterusan, ia secara langsung mencemarkan imej bola sepak Malaysia dan FAM wajib memikul tanggungjawab itu kerana mereka merupakan badan induk bola sepak negara.

Dalam masa sama, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) juga tidak terlepas daripada dipersalahkan kerana merupakan pengelola Liga Malaysia (Liga M) yang bukan sahaja memastikan perjalanan liga berjalan lancar tetapi turut memainkan peranan meluluskan lesen kebangsaan setiap kelab bertanding.

Hukuman demi hukuman dijatuhkan termasuk beberapa kelab terpaksa ditutup, nyata tidak memberi kesedaran kepada pemilik-pemilik pasukan untuk berbelanja mengikut kemampuan dengan bajet tahunan dimiliki.

Malah, pengurusan kelab terus ‘berani’ menawarkan kontrak lumayan dengan jumlah gaji puluhan ribu kepada pemain dan barisan kejurulatihan, sehingga perbelanjaan kelab mencecah jutaan ringgit sebulan.

Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr Zulakbal Abd Karim berkata, beberapa perubahan perlu dilakukan segera terutama oleh FAM dalam usaha membendung masalah tunggakan gaji berterusan dalam Liga M.

Katanya, kekurangan laporan rasmi tunggakan gaji diterima FAM berbanding berita-berita di media menunjukkan ada kelopongan dalam sistem badan induk itu yang menyebabkan pemain-pemain enggan menggunakan saluran yang betul.

Zulakbal menegaskan, menjadi tanggungjawab FAM sendiri dalam melindungi pemain-pemain supaya tidak ditindas oleh majikan dengan tidak membayar gaji berbulan-bulan.

“Kita ini buat kerja, kita berfikir dan bertindak hanya semata-mata untuk mempertingkatkan kualiti liga kita. Jadi apabila kita dapati banyak perkara tidak melindungi pemain tetapi tidak dapat diambil tindakan oleh pihak berkuasa, kita pasti tertanya-tanya sebabnya.

“Sebab itu kita kena kenalpasti, antaranya ialah ada pemain-pemain dianiaya tidak dibayar gaji hingga sembilan bulan tetapi laporan rasmi tidak diterima, jadi persoalannya kenapa pemain itu tidak buat laporan. Antara sebab pemain itu mahu bermain bola sepak dalam tempoh lama lagi.

“Tempoh bertindak juga perlu lebih cepat dengan tidak membiarkan tunggakan gaji melebihi tiga bulan. Jadi saya lihat ada beberapa statut FAM perlu digubal dan diperkemaskan terutama dalam melindungi pemain-pemain. Tanpa pemain maka tidaklah Liga Malaysia,” katanya kepada Mingguan Malaysia, semalam.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan sebab utama pemain tidak membuat laporan rasmi kerana takut nama disenarai hitam dan masih mahu mencari rezeki sebagai pemain bola sepak, selain tidak wujud statut khas oleh FAM untuk melindungi maklumat pengadu.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya