PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terus bermain teka teki berkaitan pemain warisan baharu yang bakal menyarung jersi Harimau Malaya.
Kemungkinan besar pemain yang menunggu kelulusan pasport terdiri daripada negara kuasa besar seperti Sepanyol, Portugal, Itali, Perancis selain negara Mediterranean.
Antara nama disebut-sebut bakal memperkuatkan harimau Malaya dalam masa terdekat ialah adalah Naim Garcia, Noah Andrew Kat dan Ramon Rodriguez Jimenez.
Ketiga-ketiga nama berkenaan memiliki latar belakang menarik dan ketika ini beraksi bersama kelab di liga utama Eropah.
Begitupun, jawapan tepat siapa pemain berkenaan hanya diketahui FAM dan barisan pengurusan skuad kebangsaan serta Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang mencetuskan projek revolusi Harimau Malaya.
FAM dalam satu kenyataan semalam, mengumumkan ketika ini empat pemain warisan baharu berada dalam proses mendapatkan kerakyatan Malaysia dan sedang menunggu kelulusan muktamad daripada Kerajaan Malaysia.
Perkara itu, pastinya memberi perkhabaran gembira buat kem negara bimbingan Peter Cklamovski menjelang pusingan terakhir Kelayakan Piala Asia 2027 bermula, Mac ini.
“Selain itu, FAM juga dalam proses melengkapkan dokumentasi bagi empat pemain lain. FAM berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia atas sokongan yang diberikan dalam usaha meningkatkan mutu pasukan Harimau Malaya,” kata badan induk itu, semalam.
Untuk rekod, skuad bimbingan Cklamovski diundi dalam Kumpulan F bersama Vietnam, Nepal dan Laos dengan hanya juara kumpulan akan mendapat slot ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi.
Terdahulu, Tunku Mahkota Ismail mengesahkan bahawa enam hingga tujuh pemain warisan gred A sudah dikenal pasti untuk memperkuatkan skuad Harimau Malaya.
Menerusi kenyataannya, Tunku Mahkota Ismail berharap urusan mendapatkan pasport pemain warisan yang sudah dikenal pasti itu dapat diselesaikan dengan cepat bagi membolehkan mereka beraksi untuk Harimau Malaya dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027 itu nanti.
“Kami sudah mengenalpasti enam hingga tujuh pemain warisan untuk pasukan Harimau Malaya. Diharapkan kerajaan Malaysia dapat membantu dalam proses mendapatkan pasport Malaysia agar mereka dapat bermain untuk Harimau Malaya pada kelayakan Piala Asia 2027 mulai bulan Mac ini.
“Mustahak Harimau Malaya memulakan kempen kelayakan dengan keputusan yang positif,” tulis Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT).-UTUSAN