PETALING JAYA: Pelumba basikal trek negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis memasang impian untuk merebut slot dalam acara keirin dan pecut individu pada temasya Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Meskipun hanya menduduki tempat kedua dalam acara keirin pada kejohanan Siri Satu Piala Presiden 2025, Fadhil tetap puas dengan pencapaiannya, terutama dalam aspek taktikal dan strategi perlumbaan.
“Walaupun hanya nombor dua, saya berpuas hati dengan cara saya berlumba. Semangat dan dorongan daripada jurulatih sangat membantu dalam menaikkan prestasi saya,” katanya selepas tamat perlumbaan.
Pelumba berusia 27 tahun itu juga melihat peluang besar untuk dirinya menggantikan tempat legenda sukan berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang, yang kini berehat daripada arena perlumbaan.
“Azizul sendiri selalu menekankan pentingnya persaingan sihat dalam pasukan. Saya akan cuba mengisi kekosongan itu dan bersedia untuk memberikan saingan sengit untuk ke Sukan Olimpik,” tambahnya.
Menurut Fadhil, cabaran getir menanti dalam pemilihan keirin dan pecut individu, dengan nama-nama besar seperti Shah Firdaus Sahrom, Ridwan Sahrom, serta pelumba muda Moh. Akmal Nazimi Jusena dan Ahmad Safwan Ahmad Nazeri turut memberi persaingan sengit.
“Persaingan ini bagus untuk pasukan. Kita saling menaikkan prestasi masing-masing, dan pada akhirnya, hanya yang terbaik akan terpilih,” katanya.
Fadhil turut mengakui bahawa perlumbaan berturut-turut seperti yang disertainya ini adalah persediaan ideal untuk menghadapi kejohanan besar seperti kejohanan berbasikal Asia(ACC) pada Februari ini.
“Kejohanan sebegini membantu membina stamina dan ‘feeling’ perlumbaan. Walaupun penat, ia memberikan pengalaman berharga untuk berdepan cabaran sebenar nanti,” jelasnya.
Fadhil berjaya membuktikan kemampuannya selepas berjaya merangkul pingat perak dalam acara keirin lelaki elit sementara emas dirangkul oleh Kang Seo Jun dari Korea Selatan dan gangsa diraih oleh Mohd. Akmal.-UTUSAN