PETALING JAYA: Pelumba berbasikal trek negara, Nurul Aliana Syafika Azizan bakal terlepas Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 yang dijadualkan berlangsung dari 21 hingga 27 Februari ini di Velodrom Nasional Nilai.
Ini selepas Atlet berusia 22 tahun itu masih belum cergas sepenuhnya selepas terlibat dalam kemalangan semasa sesi pemanas badan pada Kejohanan Siri Trek Yayasan Sime Darby (YSD Track Series) di Velodrom Nasional pada Oktober lalu.
Pengarah Teknikal Berbasikal Trek Negara, John Beasley, berkata, Aliana hanya memberi fokus kepada pemulihannya tahun ini dan barisan kejurulatihan enggan mengambil risiko untuk membawanya kembali ke perlumbaan.
“Aliana mengalami kecederaan kepala dan tidak sedarkan diri selama empat puluh minit selepas kemalangan. Beliau mengalami kecederaan yang memerlukan masa pemulihan yang panjang. Ia berbeza dengan kecederaan tulang yang boleh sembuh dalam masa enam minggu.
“Perancangan untuk musim ini adalah untuk membina semula kekuatan Aliana dan mengembalikannya ke tahap tertinggi semula. Namun, adalah tidak mungkin beliau akan berlumba tahun ini.
“Proses pemulihan akan berjalan perlahan, jadi kami tidak mahu tergesa-gesa membawanya kembali ke perlumbaan,” kata Beasley.
Dengan kecederaan yang agak parah ini, Beasley turut memaklumkan bahawa pelumba kelahiran Pulau Pinang itu akan terlepas seluruh kejohanan pada musim 2025 bagi memberi ruang untuk pulih sepenuhnya.
“Aliana telah kembali berlatih selepas selesai pemulihan, namun beliau merasa pening semasa sesi pemanas badan. Kami memutuskan untuk menghentikan sesi latihannya.
“Kami perlu berhati-hati, terutamanya di gim. Kesihatannya adalah keutamaan kami. Kami sentiasa memantau beliau dengan teliti dan kerap menghantarnya untuk menjalani imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI),” tambahnya.
Aliana merupakan ahli pasukan pecut negara dalam kejohanan antarabangsa bersama Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Anis Amira Rosidi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kekosongan tersebut bakal digantikan oleh pelumba simpanan kebangsaan yang baru sahaja dinaikkan pangkat dari skuad sandaran, Nurul Alyssa Farid, yang mencuri tumpuan sebagai pelumba kedua mencatat masa bawah 11 saat (s), iaitu 10.953s, di belakang Nurul Izzah pada Piala Presiden di Nilai, baru-baru ini.-UTUSAN