SEREMBAN: Seramai 41 atlet kurang upaya negeri ini yang meraih pingat pada Kejohanan Para Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 di Kuching, Sarawak pada September tahun lalu menerima insentif daripada kerajaan negeri pada satu majlis di sini petang, semalam.
Lebih RM241,000 diagihkan kepada para atlet daripada tujuh jenis sukan mengikut kategori pingat yang dimenangi dengan pemenang pingat emas menerima sebanyak RM6,000, RM3,500 (perak) dan RM2,500 (gangsa).
Pasukan catur dengan 13 pemain menerima ganjaran paling besar iaitu RM80,000 selepas membawa pulang dua pingat emas, perak (8) dan gangsa (8).
Manakala 10 pemain boling padang menerima RM48,500 dengan tiga pingat emas, perak (5) dan gangsa (4). Diikuti lima atlet angkat berat yang meraih empat pingat emas, perak (3) dan gangsa (2) dan menerima RM41,500.
Sementara itu, empat atlet olahraga menerima RM28,500 dengan tiga pingat emas, perak (1) dan gangsa (2).
Seramai lima orang perenang yang membawa pulang dua pingat emas, perak (1) dan gangsa (2) menerima RM24,000.
Sebanyak RM12,000 diagihkan kepada dua pemain ping pong yang memenangi satu pingat perak dan dua pingat gangsa manakala dua pemain badminton yang meraih satu pingat gangsa menerima RM7,000.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, dalam kejohanan itu, Negeri Sembilan berada di kedudukan kelapan dengan pungutan 53 pingat iaitu 14 emas, perak (19) dan gangsa (20).
“Pencapaian itu meningkat sebanyak 51 peratus berbanding Kejohanan Para SUKMA 2022 di Kuala Lumpur yang mana Negeri Sembilan hanya memperolehi 35 pingat iaitu 14 emas, perak (11) dan gangsa (10).
“Saya berharap momentum kejayaan ini dapat ditingkatkan pada kejohanan akan datang dengan semua persatuan sukan para bekerja keras bagi mencapai matlamat itu,” katanya.- UTUSAN