SEREMBAN: Seramai 41 atlet orang kurang upaya negeri ini yang meraih pingat pada Kejohanan Para Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 di Kuching, Sarawak pada September tahun lalu menerima insentif daripada kerajaan negeri pada satu majlis di sini petang tadi.
Lebih RM241,000 diagihkan kepada para atlet daripada tujuh jenis sukan mengikut kategori pingat yang dimenangi. Pemenang pingat emas menerima sebanyak RM6,000, RM3,500 (perak) dan RM2,500 (gangsa).
Pasukan catur dengan 13 pemain menerima ganjaran paling besar iaitu RM80,000 selepas membawa pulang dua pingat emas, perak (8) dan gangsa (8).
Seramai 10 orang pemain boling padang menerima RM48,500 dengan tiga pingat emas, perak (5) dan gangsa (4) diikuti lima atlet angkat berat yang meraih empat pingat emas, perak (3) dan gangsa (2) dan menerima RM41,500.
Sementara itu, empat atlet olahraga menerima RM28,500 dengan tiga pingat emas, perak (1) dan gangsa (2).
Seramai lima orang perenang yang membawa pulang dua pingat emas, perak (1) dan gangsa (2) menerima RM24,000.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, dalam kejohanan itu, Negeri Sembilan telah mencapai kedudukan di tangga kelapan dengan pungutan 53 pingat iaitu 14 emas, perak (19) dan gangsa (20).
“Pencapaian itu meningkat sebanyak 51 peratus berbanding Kejohanan Para Sukma 2022 di Kuala Lumpur yang mana Negeri Sembilan hanya memperolehi 35 pingat iaitu 14 emas, perak (11) dan gangsa (10),” katanya.-UTUSAN.