SEPANG: Pesilat negara, V. Thamaraj yang mengungguli Kejohanan Pencak Silat Dunia dalam kategori terbuka (atas 110kg) berazam untuk menambah koleksi pingat emas pada Kejohanan Asia, tahun hadapan.
Kejayaan merangkul gelaran dunia itu menjadi motivasi untuk petarung kelahiran Sungai Petani, Kedah itu mengalih fokus untuk memburu kilauan emas pada Kejohanan Asia yang akan berlangsung di Uzbekistan.
Menurutnya, selepas meraih dua pingat perak di Kejohanan Asia sebelum ini, beliau semakin optimis dalam menukarkan warna pingat pada pertandingan terbabit biarpun berdepan pesaing sengit dari negara lain.
“Sudah dua kali saya dapat perak di Kejohanan Asia, jadi kali ini saya mahu menang emas. Saya mahu buat yang terbaik untuk Malaysia.
“Bagaimanapun, saya masih belum mengetahui tarikh kejohanan tersebut. Saya tidak memandang lawan saya, sebaliknya menumpukan sasaran saya pada pertandingan itu,” kata Thamaraj ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba di tanah air dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), semalam.
Pada aksi yang berlangsung di Abu Dhabi, UAE itu, atlet berusia 28 tahun itu melakar namanya sebagai pesilat berbangsa India pertama meraih gelaran dunia selepas menewaskan wakil Uzbekistan, Diyorbek Khudoyberdiev.
Dalam pada itu, Thamaraj yang merupakan anggota tentera berpangkat Koperal menambah bahawa, silat ini mampu didominasikan oleh semua kaum walaupun ianya memerlukan latihan insentif bagi serasi dengan seni bela terbabit.
“Saya hanya mahu memberitahu bahawa silat ini, semua orang mampy mempraktikkan. Namun ianya bukan sesuatu yang mudah.
“Silat ini harus berlatih dengan betul dan jangan pandang mudah. Dia ada teknik tertentu. Sekiranya berlatih tidak betul, ianya mudah tercedera,” katanya lagi.-UTUSAN