KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) melancarkan kempen ‘Berjeruk Bersama’ dengan menawarkan diskaun harga tiket 25 peratus bagi memeriahkan perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia antara TFC dan Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, Sabtu ini.
Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn. Bhd., Mohd. Sabri Abas berkata, harga tiket perlawanan itu dikurangkan daripada RM20 ke RM15 sahaja.
Menurut beliau, pembeli-pembeli tiket fizikal terawal akan memperoleh baju hujan secara percuma.
Selain itu, katanya, kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah pula masuk percuma.
“Sempena kempen ini, TFC juga telah membuat permohonan khas kepada pihak Malaysia Football League (MFL) untuk memberikan kebenaran buat para penyokong membawa masuk payung ke stadium.
“PeRmohonan itu dibuat memandangkan cuaca tengkujuh yang masih melanda negeri ini dan kredit penuh buat pihak MFL yang telah bersetuju memberikan kebenaran ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Mohd. Sabri memberitahu, pembeli tiket dalam pada perlawanan ini layak memperoleh diskaun 25 peratus bagi harga tiket online perlawanan separuh akhir Piala Malaysia berikutnya jika layak.
Selain itu, katanya, minuman percuma kepada penyokong yang masuk ke stadium awal.
“Jadi Sabtu ini, sama-sama kita turun ke stadium, berikan sokongan kepada para pemain kita, tidak kira hujan turun, kita tetap setia ada bersama-sama pasukan,” ujarnya.
Utusan Malaysia pada 4 Disember lalu melaporkan, kehadiran penonton menyaksi perlawanan melibatkan TFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak mencatatkan penurunan sejak pertengahan saingan Liga Malaysia musim ini. – UTUSAN