PETALING JAYA: Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei membuktikan mereka tidak mempunyai masalah untuk menempah tiket ke separuh akhir Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 di Hangzhou, China, semalam.
Pasangan No. 8 dunia itu mengesahkan tiket ke separuh akhir apabila menumpaskan beregu Indonesia, Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja 21-17, 21-18 pada aksi kedua Kumpulan B selepas mengatasi halangan pertama sebelum itu.
Meskipun tewas kepada gandingan berkenaan pada pertemuan sulung mereka di Terbuka China pada September, Tang Jie mendedahkan ‘dendam’ beliau bersama Ee Wei terbalas pada perlawanan berkenaan.
“Sebenarnya kami sudah bertemu sekali dan kami kalah pada aksi pusingan kedua itu (Terbuka China). Kami sememangnya mahu mengatasi mereka pada peringkat ini. Keinginan kami untuk menang itu tinggi untuk mempamerkan aksi terbaik.
“Ketika Terbuka China itu kondisi kami tidak begitu baik. Saya mengalami kecederaan lutut. Namun, kami dalam keadaan baik untuk menewaskan mereka,” kata Tang Jie kepada BWF sejurus tamat perlawanan.
Dalam pada itu, satu lagi pasangan negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai berdepan misi wajib menang ke atas Dejan-Gloria pada aksi terakhir kumpulan B hari ini bagi mengesahkan kemaraan mereka ke peringkat separuh akhir kejohanan tersebut.
Shevon berkata, beliau bersama Soon Huat berwaspada dengan ancaman pasangan Indonesia terbabit berikutan belum pernah bertemu dalam mana-mana kejohanan sebelum ini.
“Corak permainan Malaysia dan Indonesia agak sama begitu juga perancangan jurulatih kami dan mereka. Kami hanya perlu bersedia dan fokus untuk mencapai keputusan yang terbaik esok (hari ini),” kata Shevon.-UTUSAN