PETALING JAYA: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengakui banyak perkara yang perlu diperbaiki selepas gandingan tersebut muncul naib juara di Kejohanan Jelajah Dunia Akhir Hangzhou, China, kelmarin.
Pujian wajar diberikan kepada gandingan itu apabila memberi tentangan sengit namun terpaksa akur tewas kepada juara Olimpik Paris 2024 juga wakil tuan rumah, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dalam pertarungan tiga set 18-21, 21-14, 17-21.
Ee Wei berkata, meskipun terlepas peluang untuk menjuarai kejohanan, namun atlet berusia 24 tahun itu tetap berbangga dengan persembahan yang diberikan bersama pasangannya, Tang Jie.
“Bermula di set ketiga mata demi mata (kutipan) sampai akhir namun kita kalah di mata penting.
“Kami kena banyak belajar daripada mereka (Si Wei-Ya Qiong). Saya rasa berbangga dengan keputusan ini walaupun tewas tetapi kita bagi mereka lawan yang sengit malah cuba untuk berjuang mendapatkan semua mata sehingga tamat,” katanya.
Kejayaan gandingan tersebut muncul naib juara membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang kemenangan AS$100,000 (RM445,000) manakala juara, Si Wei-Ya Qiong menerima AS$210,000 (RM935,000).
Tang Jie-Ee Wei mula digandingkan sejak Disember 2022 mencipta beberapa kejayaan pada musim ini antaranya menjuarai Terbuka Korea Selatan, muncul naib juara di Terbuka Switzerland, dan Thailand Masters selain layak ke suku akhir di Olimpik Paris.
Ee Wei turut berkata, kejayaan mereka turut didorong oleh jurulatih, Nova Widianto selepas juara dunia 2005 dan 2007 itu sentiasa memberi tunjuk ajar dan sokongan.
“Macam saya cakap, Nova selalu tolong kami dengan bagi keyakinan di gelanggang. Tahun 2024 memang mencabar sebab kita digandingkan dalam tempoh yang singkat dapat layak ke Olimpik Paris.
“Bagi saya, ini satu pencapaian yang bagus dan kami perlu bekerja keras dan sentiasa merendah diri pada masa hadapan. Selepas ini kami akan berehat lima hari sebelum kembali berlatih dan jumpa di Terbuka Malaysia (Januari 2025),” katanya.-UTUSAN