PETALING JAYA: Sejak lebih 10 tahun lalu, program pembangunan pelumba negara telah dimainkan dengan cukup proaktif oleh Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang pada ketika itu di bawah teraju Datuk Razlan Razali.
Minat mendalam beliau di dalam sukan pemotoran telah tercipta inisiatif daripada Razlan sendiri memainkan peranan bagi membantu pelumba-pelumba berpotensi beraksi dalam Kejuaraan Motosikal Dunia.
Antara pelumba yang berjaya mencipta nama di pentas antarabangsa dengan membawa nama SIC adalah Zulfahmi Khairuddin yang muncul pelumba pertama Malaysia mencatat keputusan podium dalam kelas Moto3.
Selepas Zulfahmi, terdapat beberapa pelumba lain yang berjaya dilahirkan di dalam program pembangunan bakat di bawah teraju Razlan selaku Ketua Pegawai Eksekutif SIC pada ketika itu.
Namun, selepas meninggalkan SIC pada 2020, tampuk kepimpinan litar itu telah beralih tangan kepada Azhan Shafriman Hanif yang menggalas jawatan CEO sehingga kini.
Baru-baru ini, Azhan Shafriman ada menyuarakan hasrat untuk mengembalikan fokus asal SIC iaitu menguruskan litar dan menganjurkan pelbagai program yang berkaitan sukan pemotoran dengan Grand Prix Motosikal Malaysia menjadi acara utama mereka.
“SIC bersedia melepaskan tanggungjawab membangunkan bakat pelumba muda kepada pihak yang sewajarnya menggalas tugas tersebut pada 2026.
“Proses peralihan tersebut akan dilaksanakan secara perlahan-lahan sebelum menyerahkan kepada pihak yang selayaknya menggalas tanggungjawab tersebut,” katanya ketika ditemui di SIC, baru-baru ini.
Jika hasrat tersebut menjadi realiti, ini bermakna 2025 bakal menjadi tahun terakhir SIC terbabit secara terus membangunkan pelumba Malaysia dengan Muhammad Hakim Danish Ramli menjadi projek terkini paling berjaya di bawah naungan litar tersebut.
Menurut Azhan Shafriman, bagi memastikan perjalanan karier Hakim Danish tidak terencat, pihaknya akan memastikan sokongan penuh diberikan kepada pelumba remaja Malaysia itu yang akan menyambung perjuangannya dalam Piala Red Bull Rookies pada tahun depan untuk musim ketiga.
Selain Hakim Danish, pelumba cilik, Qabil Irfan Azlan yang merupakan bekas juara dunia MiniGP bagi kategori 160cc pada 2023 turut memiliki masa depan cerah jika digilap bakatnya sebaik mungkin.
Baik Hakim Danish mahupun Qabil Irfan, kedua-dua mereka menerima bimbingan daripada Zulfahmi yang merupakan pengurus pasukan ZK Racing yang berada di bawah naungan SIC.
“SIC sepatutnya fokus kepada litar bagi mengurus dan menyelenggara litar untuk sukan pemotoran, selepas ini tidak ada program pembangunan bakat,” tegas Azhan Shafriman.
Selepas berakhir 2025, akan bermula perjalanan baharu pelumba-pelumba negara di bawah pemimpin baharu dan persoalannya siapakah yang paling layak menggalas tanggungjawab itu, mungkin Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) ada jawapannya.
Ends.