PETALING JAYA: Selangor FC sebelah kaki ke separuh akhir Piala Cabaran apabila membenam Kelantan Darul Naim (KDN) FC 5-1 pada suku akhir pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.
Dalam aksi berkenaan, Ronnie Fernandez dan Mukhairi Ajmal masing-masing meledak dua gol, manakala Quentin Cheng menjaringkan satu gol untuk membolehkan anak-anak buah Katsuhito Kinoshi di kedudukan selesa menjelang aksi timbal balik.
Gol saguhati KDN FC dalam perlawanan berkenaan dijaringan oleh Arip Amirudin selepas penjaga gol Selangor FC, Azim Al Amin melakukan kesilapan apabila keluar meninggalkan posisinya di pintu gawang.
Kempen Piala Cabaran boleh dianggap sebagai peluang terbaik buat Gergasi Merah menebus maruah yang tercalar selepas tersingkir awal daripada saingan Piala Malaysia musim ini.
Ini kerana kejohanan rasmi anjuran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) itu menjanjikan trofi sekali gus memastikan potensi Selangor untuk menamatkan kemarau piala yang kali terakhir dimenangi pada 2015.
Kali terakhir Gergasi Merah menang trofi kompetitif ialah ketika menjulang Piala Malaysia buat kali ke-33 pada sembilan tahun lalu.-UTUSAN