PETALING JAYA: Selangor FC mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala Cabaran apabila membenam Kelantan Darul Naim (KDN) FC 8-1 secara agregat pada peringkat suku akhir.
Dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petakling Jaya (MBPJ) sebentar tadi, Selangor FC menang 3-0, terdahulu Gergasi Merah menang bergaya 5-1 dalam perlawanan pertama.
Dalam aksi berkenaan, Selangor mempamerkan penguasaan penuh dan berada dihadapan seawal minit ke-10 menerusi pemain pertahanan, Sharul Nazeem Zulpakar.
Pada penghujung babak pertama, Selangor berjaya menggandakan kedudukan menjadi 2-0 menerusi penyudah tajam Ronnie Fernandez untuk melunturkan semangat pemain KDN FC.
Bersambung babak kedua, anak-anak buah Katsuhito Kinoshi tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol ketiga menerusi Danial Asri pada minit ke-60 yang menyudahkan hantaran Alvin Fortes.
Kedudukan 3-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan untuk Selangor FC melangkah ke separuh akhir dengan agregat 8-1 ke atas KDN FC.
Selangor akan berdepan sama ada Penang FC ataupun PT Athletic pada separuh akhir dengan skuad Harimau Kumbang kini berkelebihan 4-0 secara agregat.-UTUSAN