PETALING JAYA: Atlet lompat kijang muda negara, Rico Andrew berjaya melakar kejayaan berganda selepas meraih pingat emas dalam acara lompat kijang lelaki pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara (SEA) bawah 18 tahun (B-18) di Stadium Likas, Sabah, semalam.
Rico menamatkan lompatannya dengan catatan 14.21 meter (m) sekali gus menambah koleksi emas kesembilan kontinjen Malaysia pada kejohanan edisi ke-16 berkenaan.
Lebih manis, atlet kelahiran Sabah turut memperbaharui catatan terbaik peribadi (PB) beliau dari 14.17m kepada 14.21m selepas berdepan dengan prestasi yang kurang konsisten sebelum ini.
“Saya terkejut juga dengan keputusan ini kerana PB saya sebelum ini selalu menurun. Bagaimanapun, berkat doa daripada ibu bapa saya dapat memperbaharui catatan terbaik ini,” kata Nico.
Pada acara berkenaan, pingat perak berjaya menjadi milik seorang lagi wakil negara, Muhammad Khairul Naim Nizamuddin dengan catatan 14.15m manakala A Phisorn Chuayjamnaek dari Thailand membawa pulang gangsa (14.13m).
Dalam pada itu, Khairul Naim mendedahkan beliau masih belum berpuas hati dengan persembahannya biarpun merangkul pingat perak selepas tidak berhasil memecah rekod PB beliau pada acara yang berlangsung itu semalam.
Menurutnya, kejohanan ini akan menjadi pemangkin untuk beliau terus mempamerkan lompatan terbaik sekali gus mensasarkan PB baharu pada pertandingan seterusnya.
“Syukur Alhamduillah saya mendapat pingat perak. Bagaimanapun, saya kurang berpuas hati kerana tidak memperbaharui PB dan kelihatan lompatan saya menurun. PB saya kini 14.25m namun saya sekadar mencapai 14.15m.
“Pada kejohanan seterusnya, saya akan tekad untuk buat lebih baik dan mencapai sasaran saya,” kata Khairul Naim.
Sebelum itu, Malaysia meraih emas kelapan menerusi Nabil Faiz Ayub selepas mengungguli acara baling tukul besi lelaki pada hari terakhir kejohanan itu, semalam.- UTUSAN