KUALA LUMPUR: Tiket Johor Darul Ta’zim (JDT) ke separuh akhir Piala Malaysia masih belum terjamin selepas sekadar menang 2-1 ke atas Kuala Lumpur (KL) City FC dalam suku akhir pertama Piala Malaysia, sebentar tadi.
Biarpun JDT yang juara bertahan Piala Malaysia menguasai aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur itu dengan dua jaringan pada setiap babak, KL City FC berjaya mengurangkan defisit gol dengan jaringan pada lewat permainan.
Gol pertama anak-anak buah Hector Bidoglio terhasil pada minit ke-33 menerusi penyerang prolifik mereka, Bergson Da Silva yang bijak menggunakan kesempatan dalam kotak penalti untuk menewaskan Azri Ghani di pintu gol skuad Warga Kota.
Biarpun mempunyai beberapa peluang untuk menambah jaringan, kedudukan 1-0 kekal sehingga separuh masa pertama berakhir dan bersambung babak kedua, seperti dijangka Harimau Selatan terus menekan KL City FC.
Asakan demi asakan yang direncanakan JDT akhirnya berhasil apabila Heberty Fernandez berjaya menggadakan kedudukan buat JDT pada minit ke-78 menerusi lencongan menarik ke sebelah kanan gol untuk menewaskan Azri buat kali kedua.
Ketika ramai yang menjangkakan perlawanan akan berakhir dengan kedudukan 2-0, Brendan Gan berjaya menjaringkan gol menarik pada minit ke-88 menerusi sepakan gunting untuk KL City membawa bekalan satu gol dalam aksi timbal balik.
Kedua-dua pasukan akan bertembung sekali pada aksi timbal balik pada 21 Disember ini di Stadium Sultan Ibrahim bagi mengesahkan pasukan mana yang akan melangkah ke separuh akhir.- UTUSAN