KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao mula menunjukkan tanda kebangkitan selepas prestasinya yang sering turun naik sepanjang tahun ini sekali gus mampu mencapai tahap tertinggi menjelang musim baharu 2025.
Jun Hao yang digelar pemain ‘yo-yo’ kerana prestasi turun naik sebelum ini, mencipta kejutan apabila muncul naib juara pada Kejohanan Masters Jepun 2024, pada November lalu.
Jurulatih perseorangan lelaki negara, K. Yogendran yang mula melatih Jun Hou bermula Oktober lalu berkata, pencapaian tersebut bukan hanya penting untuk Jun Hao tetapi memberi dorongan moral untuk seluruh pasukan perseorangan lelaki, yang sebelum ini sering ‘bermasalah’ di peringkat antarabangsa.
“Kejayaan itu menjadi pemangkin semangat, bukan hanya untuk Jun Hao, tetapi juga buat keseluruhan skuad perseorangan lelaki negara.
“Setiap kejayaan kecil seperti ini memberi kita keyakinan bahawa kita mampu bersaing dengan pemain terbaik dunia, dan ia adalah langkah pertama yang besar untuk mengubah keadaan,” kata Yogendran kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di sini, semalam.
Jun Hao yang juga pemain No. 29 dunia mempamerkan kemenangan dramatik apabila menumpaskan wakil Indonesia, Jonathan Christie 10-21, 21-18, 22-20 pada aksi separuh akhir Masters Jepun, namun terpaksa akur kepada Li Shi Feng dari China pada perlawanan akhir.
Dalam masa yang sama, Yogendran enggan meletakkan tekanan yang tinggi ke atas anak buahnya bagi mengeak pemainnya itu berdepan tekanan.
Justeru, beliau memilih untuk membimbingnya melalui proses latihan yang lebih tersusun dan menyeluruh supaya pemain berusia 25 tahun itu lebih menikmati permainannya.
“Jika kita terlalu fokus pada kemenangan semata-mata, kita akan hilang perspektif yang lebih besar. Jun Hao perlu melalui proses ini dengan menikmati setiap detik dalam permainan dan belajar dari setiap kekalahan,” tambah Yogendran.-UTUSAN